KUALA LUMPUR 2 Jan. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan beliau telah meletak jawatan menteri Kabinet dan jawatan tertinggi pergerakan itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau tidak pernah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana disiarkan laman-laman blog baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan, perkara tersebut hanyalah khabar angin dan menyifatkan ia sebagai agenda parti pembangkang untuk menggugat kekuatan UMNO.
''Saya tidak pernah menghantar sebarang surat peletakan jawatan dan apa yang berlaku sekarang hanyalah mainan parti pembangkang untuk melemahkan UMNO kerana mereka tahu tulang belakang UMNO adalah Wanitanya.'
''Mereka sebenarnya sudah tidak ada isu untuk melemahkan UMNO, justeru kini mereka mensasarkan saya kerana mereka tahu kalau saya lemah, Pergerakan Wanita UMNO juga lemah sekali gus UMNO juga akan lemah,'' tegasnya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya (Jalinan Rakyat) Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota di sini hari ini.
Tegas Shahrizat, sebarang isu mengenai jawatan yang disandangnya hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri.
''Saya menyerahkan semua ini kepada Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau untuk menentukan kedudukan saya,'' katanya.
Menurut Shahrizat, terlalu banyak khabar angin mengenainya sejak kebelakangan ini namun ia disifatkan sebagai serangan peribadi untuk melemahkan parti terutama Wanita UMNO.
Begitupun, beliau menegaskan, sebarang serangan peribadi terhadapnya tidak akan menggugat sokongan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO kepadanya dan UMNO.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment