laporan-polis

TUMPAT – Satu laporan polis dibuat Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berhubung Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussien menerima sejumlah wang dari pihak tertentu menerusi tiga keping cek.

Laporan pertama di daerah ini dibuat oleh Ketua Pemuda Pas Tumpat, Mohd Rosli Abdullah yang mewakili Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat pada jam 1.02 Rabu lepas.

Mohd Rosli berkata, laporan polis itu dibuat selepas dia melihat satu artikel yang bertajuk ‘Corruption Within Corruption – Prelude’ di sebuah laman blog.

“Dalam blog ini, ia memuatkan artikel mengenai Awang Adek dikatakan menerima sejumlah wang ke dalam akaun peribadi beliau yang merupakan sumbangan seseorang.

“Ini dikuatkan lagi dengan slip bank bernombor 45128662, 98634780 dan 94648024 yang dimuat naikkan ke dalam blog tersebut,” katanya.

Menurutnya, wang yang dikatakan sumbangan tersebut adalah sesuatu yang amat meragukan kerana diperoleh daripada seseorang yang berkepentingan.

“Saya mohon pihak polis agar menyiasat perkara tersebut, dan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya pemberian sumbangan tersebut adalah rasuah,” katanya.