Saudara Pengarang, Baru-baru ini saya disaman oleh polis kerana melanggar lampu isyarat merah di sekitar kawasan Setia Tropika pada lewat dinihari.
Apa yang saya persoalkan di sini ialah apa yang menjadi keutamaan pihak polis? Keselamatan rakyat atau memberikan saman tanpa ada langsung budi bicara mengikut keadaan.
Dalam kes saya, jam sudah menunjukkan hampir pukul 3 pagi dan ketika saya melakukan kesalahan tersebut tiada sebarang kenderaan di situ. Namun, apa yang membimbangkan saya, kawasan yang saya lalu sebelum tiba di lampu isyarat tersebut dipenuhi dengan 'mat rempit' dengan jumlah yang boleh dikatakan beratus-ratus orang.
Oleh kerana bimbang akan keselamatan diri dengan golongan yang boleh dianggap sebagai 'penjenayah jalan raya itu', saya mahu segera pulang ke rumah tetapi ditahan tidak jauh dari lampu isyarat tersebut.
Saya memberikan sebab musabab, tetapi anggota polis yang menahan saya mengatakan yang kumpulan remaja bermotosikal berada di tempat lain dan tidak melalui kawasan itu, namun ketika saman ditulis, tiba-tiba terdapat empat orang remaja bermotosikal yang menunggang laju yang berpatah balik setelah menyedari kehadiran polis.
Timbul rasa tidak puas hati saya kerana anggota polis hanya menunggu di sekatan jalan raya seperti itu dengan tiga kereta peronda tidak bergerak mencegah mat rempit yang begitu ramai.
Saya sedar ia kesalahan saya dan sedia membayar saman itu, namun diharap pada masa depan anggota polis dapat menggunakan budi bicara dalam keadaan-keadaan terpencil seperti ini. Saya percaya bukan saya seorang yang melanggar lampu isyarat ketika dinihari kerana ramai pengguna jalan raya yang bimbang berhenti seorang diri pada waktu sedemikian.
Kehadiran mat rempit di kawasan itu, terutama pada hujung minggu sepatutnya dibanteras kerana bukan saja mengganggu penduduk berhampiran, malah pengguna jalan raya juga bimbang diapa-apakan jika tiba-tiba berpuluh-puluh motosikal berada di depan, kiri, kanan dan belakang kereta.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment