Tuesday, February 14, 2012

Kasih Shamsiah pulihkan suami



ALI (hadapan) dan Shamsiah (kanan) bersama anak mereka melihat ke arah rumah api yang menjadi mercu tanda Pulau Sialu, Batu Pahat, kelmarin.


BATU PAHAT 13 Feb. - Pulau Sialu yang indah di sini menjadi saksi cinta seorang isteri terhadap suaminya, seorang penagih dadah yang mahu kembali ke pangkal jalan menerusi program pemulihan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di sini semalam.

Ketika kebanyakan keluarga menyisihkan penagih dadah, wanita itu yang hanya dikenali sebagai Shamsiah, 42, sebaliknya membawa kesemua empat anaknya ke pulau itu untuk memberi sokongan kepada ayah mereka, Ali, 41, menyertai program yang turut mendapat kerjasama masyarakat Orang Asli setempat.

Azam wanita itu hanya satu, melihat suami insaf dan dia yakin menerusi kasih serta kaedah yang betul, potensi diri suaminya dapat dicungkil sama seperti Pulau Sialu yang keindahannya masih tersembunyi dan berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan.

Bermula di pantai Minyak Beku, keluarga itu bersama 20 penagih lain menaiki bot milik Orang Asli yang serba ringkas meredah laut ke lokasi tanpa penghuni tetapi penuh ketenangan itu dengan diiringi bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) untuk tujuan keselamatan.

Sepanjang program yang turut mendapat sokongan Pejabat Parlimen Sri Gading, Kelab Sahabat Metahadone, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) ini dijalankan, Shamsiah dan anak-anaknya sering berada dekat dengan Ali untuk memberi sokongan padu kepadanya.

Ditanya tentang kisah hidupnya, Shamsiah berkata, dia mengetahui suaminya terjebak dengan penagihan najis dadah sejak bertunang pada 1995, tetapi hatinya merasakan lelaki itu akan berubah selepas berkahwin.

Walaupun impiannya untuk melihat suaminya bebas dadah belum tercapai, dia kekal setia meskipun pernah diminta ibu mertuanya bercerai.

"Saya benar-benar sayangkan dia. Saya bawa anak-anak yang berusia antara enam hingga 15 tahun untuk memahami sendiri situasi ayah mereka dan memberi sokongan kerana walau apa pun terjadi, dia tetap ayah mereka," katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Menceritakan kisah sedihnya itu, Shamsiah yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja kilang memberitahu duitnya sering dihabiskan suami untuk membeli dadah.

Malah, katanya, anak tunggal mereka pernah bergaduh dengan rakan sekolah kerana diejek sebagai anak penagih.

Bagaimanapun, jelasnya, sejak mendapat rawatan menghilangkan penagihan menerusi penggunaan dadah methadone di sebuah klinik di Parit Raja pada 2010 dan menyertai Kelab Sahabat Methadone, suaminya mulai insaf dan telah kembali mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.

Shamsiah memberitahu, antara sebab utama dia masih bertahan dengan suaminya itu kerana lelaki itu amat menyayangi anak-anak termasuk seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Ali menyifatkan dia merupakan manusia amat beruntung di dunia kerana memiliki isteri dan anak-anak yang masih menyayanginya sedangkan ramai penagih lain terpaksa hidup seorang diri kerana dibuang keluarga


Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment