PASIR GUDANG – Seorang ibu tunggal warga emas di sini tidak mampu lagi menanggung rasa pilu melihat anak perempuannya menderita sakit misteri selama hampir dua tahun, walaupun telah puas berusaha untuk berubat.
Sainon Misni, 76, mendakwa, anaknya, Fauziah Mohd Saad, 46, atau lebih dikenali sebagai Fuji menghidap penyakit misteri selepas dua minggu mendirikan rumah tangga dengan seorang duda di Perak, dua tahun lepas.
“Saya menyesal kahwinkan Fuji dengan lelaki itu. Kalau tahu nak jadi macam ni, saya rela Fuji menjanda asalkan dia sihat walafiat,” katanya kepada Sinar Harian dengan nada sedih ketika ditemui di sini, kelmarin.
Menurutnya, Fuji yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik, sebelum ini seorang yang aktif dan mampu menyara kehidupan sebagai operator pengeluaran selepas perkahwinan pertama gagal.
“Pada awalnya, ketika baru sahaja berkahwin dengan duda tersebut, Fuji pernah bermimpi ada orang yang berwajah hodoh menamparnya.
“Sejak itu, beginilah keadaan Fuji. Menjelang senja, wajahnya akan bertukar menjadi kehitam-hitaman, dengan badan yang bergoyang-goyang dan tidak mampu berjalan,” kata Sainon.
Bukan setakat itu, menurut Sainon, badan Fuji juga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan walaupun sesudah mandi.
Lebih menyedihkan, menurut Sainon, doktor juga tidak mampu mengesahkan penyakit yang dihidapi Fuji, malah menasihatkannya mendapatkan khidmat perubatan tradisional.
“Fuji sebelum ini sudah dibawa ke merata negeri untuk mendapatkan rawatan tradisional, namun masih belum berhasil,” katanya.
Sainon berkata, harapannya hanya satu, iaitu untuk melihat Fuji sembuh seperti sedia kala dan meneruskan hidup seperti wanita lain sebelum dia menutup mata.
“Saya rayu jika ada mana-mana pihak yang boleh tampil untuk membantu memulihkan Fuji kembali tanpa sebarang bayaran agar datang menemui kami di sini.
“Kalau saya sudah tiada lagi di dunia ini, saya pun tidak tahu Fuji hendak tinggal dengan siapa," ujarnya sebelum menutup bicara.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Sinar Harian menerusi talian 019-7906796.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment