Friday, February 24, 2012

Lapan beranak berteduh di pondok berdinding zink, kanvas



Norhawa Arip bersama dua anaknya di Kampung Parit Abdul Aziz, Sungai Balang Darat, Muar, Johor.


MUAR 23 Feb. - Sebuah pondok berdindingkan zink dan kanvas tanpa pintu, menjadi tempat berteduh lapan beranak di Kampung Parit Abdul Aziz dekat sini sejak lapan bulan lalu setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Pondok berukuran 20 x 15 kaki itu didiami oleh keluarga Ariffin Md. Amin, 39, bersama isteri, Norhawa Arip, 37, dan enam anak mereka berusia tiga hingga 15 tahun.

Menurut Norhawa, pondok yang didirikan atas tanah milik ibu mertuanya itu hanya menanti masa untuk roboh, selain tidak memiliki kemudahan asas.

"Pondok ini tidak mempunyai bilik dan di ruang yang sempit inilah kami tidur, berehat, makan dan tempat anak-anak membuat kerja sekolah.

"Selain itu, 'rumah' ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan cara membuat penyambungan dari rumah jiran," katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Norhawa berkata, apabila hujan lebat waktu malam, semua ahli keluarga tidak dapat tidur kerana terkena tempias berikutan kanvas itu tidak mampu menahan tiupan angin yang kuat.

Ketika itu, mereka sekeluarga terpaksa berhimpit untuk mengelak daripada terkena tempias hujan.

Katanya, pendapatan suaminya yang tidak menentu sebagai pemandu lori menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah baharu.

"Pendapatan yang ada sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk menanggung lima daripada enam anak yang masih bersekolah," katanya.

Norhawa pernah membuat permohonan mendapatkan rumah baharu daripada Baitulmal menerusi ketua kampung, tetapi hingga kini masih belum mendapat maklum balas.

Dia mengakui berasa sayu apabila melihat anak-anaknya membesar dalam keadaan rumah yang kurang sempurna.

Justeru, dia berharap permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi membina rumah baharu diberi pertimbangan segera oleh pihak berkaitan.


Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment