Wednesday, February 15, 2012

Tarik balik kenyataan pro-Israel atau dakwa WSJ, Nik Aziz gesa Anwar



February 14, 2012
KUALA LUMPUR, 14 Feb — Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menarik balik kenyataannya seperti yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.
“Ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah Nik Aziz (gambar), sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.
Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang, sebelum ini dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemu ramah akhbar WSJ, dengan menyatakan beliau menyokong “kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.”
Menurut Nik Aziz, pendirian PAS berpegang dengan prinsip, dan tidak akan  mengiktiraf negara Israel sebagaimana yang ditegaskan pendirian dalam kalangan masyarakat Islam antarabangsa.
Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, PAS menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang ditindas di bumi sendiri.
Jelasnya lagi, beliau telah menghantar surat kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan tersebut.
Anwar telah menerima kecaman hebat daripada masyarakat negara ini dan juga Umno ekoran kenyataannya itu..
Beliau mempertahankan dirinya dengan menyatakan kenyataan yang dibuatnya yang menyatakan sokongan terhadap penyelasaian dua negara, selari dengan kenyataan yang dibuat Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) September tahun lalu.
Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan, bekas timbalannya itu menyokong Yahudi dan merupakan pemimpin yang tidak menghormati perjuangan rakyat Palestin.
Malaysia menyokong penuh perjuangan Palestin dan menolak kekejaman Israel terhadap negara Islam tersebut, malah kedua-dua negara juga tidak menjalinka hubungan diplomatik.

No comments:

Post a Comment