Rais Yatim
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 716 aduan berhubung kandungan laman sosial seperti Facebook dan Twitter pada tahun lepas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 289 merupakan aduan berkenaan kandungan jelik atau mengancam, kandungan palsu (247), kandungan lucah dan sumbang (40), penggodaman (124) manakala yang lain sebanyak 16 aduan.

Selain laman rangkaian sosial, SKMM juga menerima 1,112 aduan berkaitan laman web, blog dan emel, katanya semasa menjawab menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rais berkata SKMM juga menerima 693 aduan berkaitan phishing (percubaan mengambil data dari kumpulan data pihak lain).

"Masalah penyamaran, penipuan dan salah guna laman rangkaian sosial berpunca daripada perasaan seronok untuk meluaskan pandangan masing-masing melaluinya; tanpa mengambil kira aspek negatif yang timbul akibat perbuatan itu.

"Sebahagian anggota masyarakat lupa kita mempunyai kekangan dan cara hidup yang harus dilandaskan kepada nilai-nilai murni, agama dan amalan budaya," katanya.

Beliau berkata tidak kurang 15 kes telah diambil tindakan di mahkamah tetapi masyarakat masih perlu diberi didikan dan penerangan mengenai perkara itu.

"Penggunaan jalur televisyen, ceramah dan ikhtiar pencegahan terus dilaksanakan dan pengurangan dilihat menggalakkan. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam bentuk kekangan sosial yang diperlukan," katanya.

Kepada soalan sama ada kementerian bercadang memantau atau menyekat akaun Facebook yang sering dicemari penyalahgunaan, Rais berkata setiap kandungan atau komen yang dibuat pengguna laman sosial tidak melalui sebarang proses tapisan, kelulusan atau penilaian mana-mana pihak berkuasa termasuk SKMM.

Beliau berkata semua kandungan rangkaian adalah tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Selain pendakwaan di mahkamah, SKMM juga mengambil tindakan menyekat akses ke laman-laman web untuk meningkatkan kesedaran dari semasa ke semasa kepada orang ramai tentang isu sosial dan teknologi yang dihadapi pengguna internet," katanya. - Bernama