Utusan Malaysia Online - Berita Utama:
'via Blog this'
SHAH ALAM 20 Mac - Bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 28 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM935,000 antara Disember 2008 dan Jun 2009.
Hasbie yang sebelum ini berdepan dengan tuduhan serupa melibatkan wang RM2.13 juta di Butterworth, Pulau Pinang pada awal tahun lalu, mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan tersebut selepas kesemuanya dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Bagi 28 pertuduhan ini, Hasbie, 39, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mendepositkan kesemua wang tunai itu ke dalam akaun bank milik 11 individu termasuk beberapa ahli keluarganya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank, CIMB, RHB dan Tabung Haji di beberapa lokasi seperti Salak Tinggi, Sepang; Bandar Baru Bangi serta Putrajaya antara 14 Disember 2008 dan 18 Jun 2009.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Ketua Unit Pelucutan Hak Harta, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam negara, Anselm Charles Fernandis menawarkan jaminan RM100,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan turut memohon agar kesemua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth untuk dibicara bersama kes yang dihadapi oleh Hasbie di negeri tersebut.
Sementara peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili Hasbie memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya dikenakan jaminan RM60,000 bagi kes sebelum ini sedangkan jumlah wang yang terlibat lebih besar.
Aslam kemudiannya menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth, sebaliknya beliau mengarahkan kesemua 28 pertuduhan itu dibicara bersama di sini.
Beliau turut membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM90,000 beserta seorang penjamin serta menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes itu.
Pada 10 Februari tahun lalu, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram sebanyak lebih RM2.13 juta.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 4-10 Pangsapuri Sri Molek, Jalan Laksamana, Telok Air Tawar, dekat sini pada 11 Februari 2010.
Hasbie kemudian memohon dia dilepas tanpa dibebaskan dengan alasan kertas pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan cacat dan tidak jelas tetapi ditolak mahkamah.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment