Sunday, March 25, 2012

Suspek bakar kereta ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 24 Mac - Kes bakar kenderaan mewah yang semakin menjadi-jadi di ibu negara terungkai apabila polis berjaya menahan seorang lelaki di sini hari ini yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu.
Suspek berusia 42 tahun ditahan di Kampung Pauh, Sentul kira-kira pukul 10.30 pagi dan dia dipercayai terlibat dalam kes bakar 18 buah kenderaan mewah sejak 10 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek ditahan hasil siasatan lanjut polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di salah satu lokasi kejadian.
"Polis turut merampas tuala mempunyai kesan petrol, minyak petrol serta pemutar skru yang telah ditajamkan, dipercayai untuk digunakan bagi memancitkan tayar kereta," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Jinjang hari ini.
Kebakaran kenderaan mewah antaranya Skoda Octavia, BMW 523i, Kia Sorento dan Honda Accord sebelum ini dilaporkan semakin menjadi-jadi di ibu negara apabila sekurang-kurangnya 18 kes dilaporkan.
Terbaru malam tadi, empat buah kereta dibakar di sekitar Sentul termasuk satu di Titiwangsa.
Menurut Chin Wah, polis sedang menyiasat motif tindakan lelaki itu dan kemungkinan dia melakukan jenayah ini bersama individu lain.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment