TELOK KEMANG 24 Mac – Benar kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itulah padah yang menimpa tiga penjenayah lelaki warga asing apabila mereka akhirnya maut akibat ditembak polis ketika cuba memecah masuk rumah seorang penduduk di sebuah kampung dekat Linggi, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kesemua suspek cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk di kampung itu namun, terserempak dengan sebuah kereta peronda polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, polis yang curiga dengan tindakan tiga lelaki itu menghampiri mereka sambil mengarahkan semua lelaki itu menyerah diri.
“Bagaimanapun, tiga penjenayah tersebut bertindak agresif apabila menyerang anggota polis yang menghampiri mereka dengan menggunakan parang.
“Berikutan itu, polis tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa melepaskan tembakan ke arah ketiga-tiga penjenayah berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Osman, hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah iaitu pemotong besi, pemutar skru, sarung tangan dan topeng pada tiga suspek itu.
“Kita percaya mereka masuk ke dalam kawasan rumah dengan memotong pagar, tetapi sebelum memecah masuk ke dalam rumah, suspek terserempak dengan anggota polis yang kebetulan sedang meronda.
“Rumah yang menjadi sasaran penjenayah ini didiami enam beranak. Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan dalam kejadian ini,” jelasnya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment