MAZLAN-ALIMAN
KUALA LUMPUR - Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) mendakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berbohong bahawa peneroka Felda tidak akan terjejas dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia.
Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, Ahmad berbohong di Parlimen kelmarin apabila mengatakan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia adalah ‘durian runtuh’ kepada peneroka yang merupakan pemegang saham utama dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).
“Saya mengikuti perbahasan itu dan Ahmad telah berbohong di Parlimen, apabila beliau mengatakan peneroka tidak akan terjejas dengan penyenaraian FGVH.
“Sedangkan saya ada bukti, hujah dari pakar-pakar ekonomi bahawa peneroka akan terjejas sekiranya tindakan penyenaraian itu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Mazlan berkata, adalah salah di sisi undang-undang untuk memindahkan tanah Felda di bawah penyenaraian FGVH.
Di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, tanah Felda hanya boleh dimiliki oleh koperasi dan individu, bukan entiti komersial seperti FGVH.
Justeru katanya, Anak akan memfailkan injunksi mahkamah akhir bulan ini atas sebab-sebab ini untuk menghalang penyenaraian tersebut.
“Kami akan memfailkan injunksi untuk memastikan bahawa tanah Felda itu tidak akan disenaraikan,” katanya
Hadir sama pada sidang media itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Timbalan Presiden Anak; Razman Zakaria serta Penasihat Ekonomi Anak; Rosli Yaakob.
Mazlan juga mengulangi kesediaannya untuk berdebat dengan Ahmad berhubung isu Felda.
“Saya ajak dia debat dalam isu Felda, namun beliau mahukan dialog terbuka. Tetapi sehingga hari ini, tiada lagi maklum balas darinya,” katanya.