Sunday, April 8, 2012

4 beranak huni 'reban ayam'


PASIR MAS 7 April - Seorang wanita dan tiga anaknya terpaksa tinggal di pondok seperti reban ayam yang hanya berdindingkan kain selimut selepas ditinggalkan oleh suaminya sejak dua tahun lalu di Kampung Gaung, Tendong dekat sini.
Rohana Mohamad, 48, terpaksa mengharapkan ihsan daripada seorang penduduk, Wan Nazifah Wan Musa, 52, untuk mengubah suai pondok di sebelah rumahnya dengan meletakkan kain selimut terbuang di sekelilingnya sebagai dinding bagi dijadikan tempat berteduh.
Malah setiap kali hujan, dia bersama tiga anaknya, Fauziah Abdullah, 9; Muhammad Nasir, 7, dan Nurul Nasuha, 3, terpaksa menumpang di rumah Wan Nazifah kerana atap bocor serta dinding yang boleh ditembusi air.
Pondok itu hanya boleh memuatkan mereka sekeluarga untuk tidur dan sedikit ruang rehat tanpa dapur. Bagi membersihkan diri dan mencuci pakaian, dia terpaksa pergi ke masjid berhampiran.
Lebih menyedihkan apabila dua anaknya tidak bersekolah kerana tidak mempunyai sijil kelahiran disebabkan perkahwinan mereka tidak didaftarkan serta suaminya yang berasal dari Thailand.
Rohana yang ditemui di rumahnya berkata, dia terpaksa menumpang di pondok itu kerana tidak mempunyai pendapatan untuk menyewa rumah.
"Saya tidak mampu bekerja kerana masalah asma yang teruk. Sekarang saya dan anak-anak hanya mengharapkan bantuan daripada Wan Nazifah untuk makan setiap hari.
"Sehingga hari ini saya tidak tahu di mana suami saya, dia tidak pernah balik. Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal di Pengkalan Chepa tetapi selepas suami saya menghilangkan diri, saya dan anak-anak menumpang di pondok ini," katanya yang berasal dari Kampung Becah, Tendong di sini.
Tambahnya, dia pernah meninggalkan pondok tersebut beberapa bulan untuk bekerja sebagai tukang cuci di Kuantan tetapi kembali semula kerana tidak mampu untuk bekerja disebabkan penyakit tersebut.
Bagaimanapun masalah tersebut akan selesai tidak lama lagi selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali datang untuk melihat sendiri keadaannya hari ini.
Ibrahim berkata, Rohana akan diberikan bantuan RM300 sebulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam masa terdekat.
"Saya cukup kecewa dan sedih, kita akan cuba ikhtiar membina sebuah rumah untuk mereka sekeluarga dalam masa terdekat. Kita juga akan membantu anak-anak ini untuk mendapatkan sijil kelahiran dan bersekolah bersama rakan-rakan sebaya yang lain.
"Ini adalah manifestasi kemiskinan rakyat Kelantan, tiga anak tidak bersekolah, duduk dalam reban ayam. Tidak ada makna jadi kerajaan, ada parti bercakap mengenai kebajikan tetapi rakyat hidup seperti haiwan," katanya.

No comments:

Post a Comment