PETALING JAYA 23 April - Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan salah seorang daripada empat pelajar kolej swasta yang dituduh membunuh pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter dan bapanya dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental.
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid mengeluarkan perintah itu terhadap Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, selepas peguamnya, Mohd. Rafik Rahem membuat permohonan tersebut bagi mengetahui status kesihatan mental tertuduh semasa kejadian.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan bedah siasat yang masih belum diterima pihak pendakwaan beserta laporan pemeriksaan mental pelajar itu.
Mohamad Zul Shahril dan tiga lagi rakannya, Mohamad Sharafe Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, didakwa membunuh Zara Eleena, 23, di rumah wanita itu di No.28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong di sini antara pukul 1.30 pagi dan 2.30 pagi, 9 Mac lalu.
Mereka juga didakwa membunuh Omar Peter Abdullah, 56, yang merupakan pesara sebuah syarikat elektronik di tempat sama antara pukul 11.30 malam, 8 Mac dan 1.30 pagi, 9 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Mohamad Zul Shahril berasal dari Kuantan, Pahang; Mohamad Sharafe dari, Arau, Perlis; Azizi Aizat dari Muar, Johor; dan Muhamad Safwan dari Seremban, Negeri Sembilan.
Hanya Muhamad Safwan dari kolej berasingan manakala tiga yang lain merupakan rakan sekolej di tempat Zara Eleena bekerja.
Zara Eleena ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai biliknya manakala bapanya dalam keadaan tertiarap di atas katil bilik utama.
Bagaimanapun, tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada kedua-dua tubuh badan mangsa dan ia menimbulkan tanda tanya.
Siasatan awal polis mendapati, motif pembunuhan dipercayai berkaitan dengan masalah peribadi.
No comments:
Post a Comment