Tuesday, April 24, 2012

Diejek tidak pandai menoreh, lelaki ditikam dalam pergaduhan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KENINGAU 23 April - Gara-gara dituduh tidak pandai menoreh getah, seorang lelaki warga Indonesia maut akibat ditikam rakan senegaranya dalam satu pergaduhan di Kampung Kebulu Sook, di sini semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Andi Jumadi Page, 31 (gambar), ditikam dengan senjata tajam di dada kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Keningau memaklumkan terdapat seorang lelaki mati akibat ditikam.
"Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau bergegas ke hospital dan mendapati terdapat satu kesan tikaman sedalam dua sentimeter di dada kiri mangsa dipercayai menggunakan objek tajam," katanya di sini hari ini.
Menurut Zahari, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu berselisih faham dengan suspek yang berusia 38 tahun yang juga seorang penoreh getah.
"Mangsa tidak berpuas hati dengan suspek yang dikatakan memburukkan namanya kepada orang kampung dengan mengatakan dia tidak pandai menoreh getah.
"Pada hari kejadian, suspek berjumpa mangsa dan berlaku pergaduhan dan suspek menikam mangsa. Suspek kemudian melarikan diri selepas kejadian itu," katanya.
Zahari berkata, usaha mengesan suspek sedang dilakukan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment