Thursday, April 5, 2012

Lebih RM5j diberi kepada pekerja Hasbie - Saksi

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


BUTTERWORTH 4 April — Seorang pengurus projek sebuah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa lebih 30 keping cek syarikat dan cek persendirian berjumlah lebih RM5 juta ditunaikan dan diberikan kepada dua lelaki yang mendakwa bekerja dengan Hasbie Satar.
Pengurus Projek Gallant Route Sdn. Bhd., Quah Hooi Eng berkata, beliau difahamkan tujuan pemberian wang itu adalah sebagai dorongan untuk mendapatkan projek-projek kerajaan di bawah Kementerian Kewangan kerana Hasbie adalah Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika itu.
Saksi ke-13 dan yang terakhir dalam prosiding kes itu berkata, beliau kerap diarah untuk menunaikan cek-cek berkenaan oleh majikannya, Tan Kim Chooi dan memberikan wang secara tunai kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Japaruddin Ibrahim manakala pernah memberi wang tunai sekali atau dua kali kepada seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Hatta.
"Saya mula kenal Japaruddin dan Hasbie dalam sebuah pub karaoke di Kuala Lumpur apabila Mr. Tan (majikannya) meminta saya menemani dan melayan mereka," katanya di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin.
Katanya, dalam perjumpaan itu, Japaruddin juga ada memberitahu beliau bahawa Hasbie adalah 'bosnya'.
Hooi Eng berkata, tempat-tempat perjumpaan untuk memberikan wang tunai itu ditetapkan oleh Japaruddin di sekitar ibu negara setelah beliau menghubunginya.
Hooi Eng juga mengakui bahawa majikannya membiayai pembelian sebuah rumah oleh JBI Sdn. Bhd. yang berharga RM3.85 juta di Gita Bayu, Seri Kembangan, Selangor.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis, saksi itu memberitahu, beliau difahamkan syarikat JBI itu adalah merujuk kepada nama Japaruddin bin Ibrahim dan sememangnya Japaruddin adalah pengarah syarikat berkenaan.
Katanya, syarikat Gallant Route mengeluarkan wang sebanyak RM80,000 sebagai deposit pembelian rumah itu atas nama JBI Sdn. Bhd.
Hooi Eng berkata, berdasarkan kepada perjanjian, rumah berkenaan kemudiannya akan disewakan kepada Hasbie oleh JBI Sdn. Bhd.
Hasbie, 39, dituduh melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM2.134 juta di sebuah apartmen di Teluk Air Tawar pada pukul 3.30 petang, 11 Februari tahun lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Perbicaraan bersambung 7 Ogos depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment