Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya cuma tolak kempen terlalu lama 21 hari
KUALA LUMPUR: Tujuh daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) dimasukkan dalam 22 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya di Parlimen kelmarin.Ahli Jawatankuasa PSC, P Kamalanathan, ketika menjelaskan perkara itu, berkata hanya tuntutan BERSIH mengenai tempoh berkempen selama 21 hari saja tidak dimasukkan dalam syor itu kerana ia terlalu lama yang pastinya akan meningkatkan kos. Bagaimanapun tempoh sekarang dipanjangkan daripada tujuh ke 10 hari.
Semalam, Pengerusi Bersama BERSIH, Tan Sri A Samad Said pada sidang medianya berkata, BERSIH tetap akan mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini sebagai bantahan terhadap keputusan PSC itu.
Kamalanathan berkata, sepatutnya BERSIH memberi ruang kepada SPR melaksanakan pembaharuan bukan menggagalkannya.
“PSC juga mengemukakan cadangan bagi memperkasakan SPR selaras tuntutan mereka tetapi mereka tetap tidak berpuas hati,” katanya.
Beliau berkata, pada sesi pendengaran awam, pandangan orang ramai turut diambil kira bukan saja pandangan BERSIH.
Semalam akhbar melaporkan, Parlimen meluluskan semua 22 cadangan yang dikemukakan PSC bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini tanpa dibahaskan ekoran kekecohan yang ditimbulkan wakil rakyat pembangkang.
Keputusan itu juga menyaksikan pembangkang yang dipimpin ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai keputusan Dewan Rakyat yang menolak laporan minoriti.
Mengulas perkara itu, Kamalanathan berkata Dewan Rakyat perlu membuat keputusan untuk memilih salah satu syor yang dikemukakan dan laporan PSC juga turut menyelitkan cadangan dikemukakan pembangkang.
“PSC tidak meminggirkan cadangan pembangkang walaupun laporan minoriti tidak di masukkan, setiap cadangan dan syor dikemukakan, kita akan selitkan apa cadangan daripada pembangkang dan berapa yang menyokong dan menolak cadangan itu.
“Berhubung daftar induk pemilih, pembangkang membangkitkan mengenai 42,000 pemilih meragukan, PSC mengambil kira pandangan ini dan kita cadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa menyingkirkan senarai nama pemilih berkenaan, kerana hari ini SPR tidak boleh berbuat demikian tanpa bukti sokongan kukuh menyatakan pemilih berkenaan sudah tiada,” katanya.
Beliau berkata, tidak wajar bagi BERSIH dan pembangkang untuk menjadikan perkara berkenaan sebagai isu untuk menganjurkan BERSIH 3.0 selain meminta kumpulan berkenaan mengemukakan bukti negara mana yang benar-benar memiliki senarai pemilih bersih.
Bahkan katanya, Amerika Syarikat yang maju dan canggih, tahun ini saja masih mempunyai 1.2 juta senarai pemilih meragukan.
Ditanya mengenai wakil pembangkang dalam jawatankuasa PSC, beliau berkata kumpulan berkenaan lebih gemar mengugut untuk keluar daripada jawatankuasa itu dan bukannya mencari jalan terbaik untuk menambah baik perjalanan sistem pilihan raya.
No comments:
Post a Comment