Saturday, April 28, 2012

Mahkamah larang berhimpun

Berita Harian Online | Mahkamah larang berhimpun:

PELANCONG tidak melepaskan peluang bergambar di Dataran Merdeka, semalam.
PELANCONG tidak melepaskan peluang bergambar di Dataran Merdeka, semalam.
Majistret perintah Ambiga, penganjur jauhi Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam mengeluarkan perintah melarang Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk Ambiga Sreenevasan dan penganjur Perhimpunan BERSIH 3.0 berhimpun di Dataran Merdeka mulai hari ini hingga 1 Mei depan.
Perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zuber itu turut melarang orang awam menyertai perhimpunan yang dijadualkan antara jam 2 hingga 4 petang hari ini sehingga tempoh ditetapkan itu, mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah.
Ini membabitkan soal keselamatan dan polis akan bertindak mengikut bidang kuasa mereka, selain peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2011. Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur atau keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam. - Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri.
Berikutan permohonan Ketua Polis Daerah Dang Wangi itu, mahkamah mendapati perlu satu tindakan segera diambil bagi mengelakkan suatu perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia atau rusuhan atau gaduh gempar jika perhimpunan itu diadakan.

Perintah itu dikeluarkan selepas permohonan BERSIH mendapatkan kebenaran menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengikut Undang Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

Kawasan larangan adalah sempadan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab kecuali kawasan yang diduduki Kelab Diraja Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, berkata perintah mahkamah itu jelas menunjukkan sebarang aktiviti perhimpunan yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya dalam tempoh itu adalah perhimpunan haram. 
Katanya, polis dan penguatkuasa DBKL akan mengadakan kawalan ketat di kawasan larangan berkenaan.

“Jika ada pihak berdegil dan melanggar sebarang arahan, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali selain tindakan mengikut undang-undang sedia ada jika mereka melakukan perarakan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun, Ambiga ketika mengulas perintah larangan itu berkata, mereka akan tetap meneruskan perhimpunan itu.

Katanya, perhimpunan itu akan berlangsung seperti dirancang dengan semua peserta berkumpul di enam lokasi sekitar ibu negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein ketika mengulas perkara itu, berkata sebarang tindakan yang bakal diambil polis berhubung perhimpunan berkenaan bergantung kepada situasi semasa malah persediaan rapi sudah dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Ini membabitkan soal keselamatan dan polis akan bertindak mengikut bidang kuasa mereka, selain peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2011. Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur atau keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Banyak pengalaman kita peroleh ketika mengendalikan perhimpunan sama tahun lalu. Ia banyak membantu kita membuat persiapan kali ini, termasuk persediaan menghadapi kritikan dan pertikaian yang bakal timbul di sebalik tindakan kita dalam mengendalikan perhimpunan esok,” katanya kepada wartawan di Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan sudah berusaha sebaik mungkin dalam menawarkan penyelesaian termasuk menyediakan empat lokasi alternatif iaitu Stadium Merdeka, Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Cheras dan Stadium Titiwangsa, namun ditolak penganjur yang berkeras mahu berhimpun di Dataran Merdeka.

“Siapa sekarang ini yang bersikap tidak munasabah, malah kita percaya di sebalik semuanya ini, pasti ada motif politik tersembunyi. Kerajaan sudah beri ruang dan peluang secukupnya... kita sudah mansuhkan Akta Kediaman Terhad, Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan gubal Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi memenuhi kehendak mereka... apa lagi yang mereka mahukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment