Penduduk berang tiada air
BANDAR TEMERLOH - Masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Mendoi, Kuala Krau, dekat sini, mengeluh kerana tidak sanggup lagi berhadapan masalah terputus bekalan air.

Penduduk, Mohamad Putih, 58, berkata, dalam masa seminggu, terdapat dua atau tiga hari mereka mengalami masalah itu.

Menurutnya, penduduk sudah bosan, malah lebih mengecewakan aduan yang dibuat kepada pihak berkaitan seperti melepas batuk di tangga dan kini mereka sudah terputus bekalan air selama tiga hari.

“Sampai bila kami perlu berhadapan masalah ini ­kerana ia menyusahkan kami untuk melakukan kerja harian ­seperti membasuh pakaian dan ­pinggan mangkuk.

“Ada ketika kami terpaksa mengambil air dari sungai berhampiran yang keruh untuk minum. Kalau ada antara penduduk yang mengalami sakit perut siapa yang perlu bertanggungjawab?” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Ariffin Yudin, 37, berkata, bagi yang bujang mereka boleh mandi di sungai berhampiran, tetapi kaum ibu yang ada anak pasti sukar kerana bimbangkan keselamatan anak mereka.

Katanya, jika ganguan bekalan air hanya berlaku sehari, ia masih boleh dimaafkan, tetapi ia berlaku selama ­beberapa hari dalam seminggu dan keadaan itu menyusahkan penduduk.

“Setiap kali terputus bekalan air pasti kami akan segera hubungi pihak berkenaan, tetapi malangnya panggilan kami tidak dilayan kerana kami kerap buat aduan.

“Macam mana kami tidak buat aduan kalau masalah ini tidak pernah selesai. Kami perlukan bekalan air bersih setiap hari,” katanya.