Saturday, April 7, 2012

Kecewa sikap bekas isteri

Kecewa
ARAU – Seorang lelaki terkilan dengan sikap bekas isterinya kerana mendakwa dia tidak dibenarkan berjumpa empat anaknya setelah mereka berpisah setahun lalu. 
Seorang penjawat awam yang berusia 40 berkata, dia yang berasal daripada Pauh, kecewa dengan sikap bekas isterinya yang membuat laporan kepada pihak berkuasa setiap kali dia berjumpa anak-anaknya dan menetapkan syarat untuk melihat mereka.

Menurutnya, sebagai seorang bapa dia bimbang masalah rumah tangga yang dihadapi akan mempengaruhi anak-anaknya yang masih bersekolah.

“Saya pernah beberapa kali ditahan pihak berkuasa sebab berjumpa anak-anak. Sebagai bapa saya hanya dibenarkan berjumpa mereka 300 meter dari rumah.

“Bukan itu sahaja, setiap kali musim cuti sekolah, saya sukar berjumpa anak-anak kerana bekas isteri membawa mereka jauh dari saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, pada mulanya dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya, namun atas permintaan dan desakan isteri dia terpaksa akur dengan kehendak isterinya dan mereka telah membuat perjanjian bahawa bekas isteri tidak akan membuat sebarang tuntutan.

Katanya, tiada sesiapa mahu keluarga yang dibina 16 tahun lalu musnah begitu sahaja dan dia telah berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya tetapi gagal.

“Paling mengecewakan, setelah berpisah saya sentiasa melawat anak-anak, namun bekas isteri menuduh saya gila talak dan secara tidak langsung tindakannya itu menjatuhkan maruah saya sebagai suami.

“Saya tidak pernah abaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan setiap bulan saya akan beri mereka wang perbelanjaan mengikut kemampuan saya, tetapi bekas isteri masih enggan membenarkan saya berjumpa mereka,” katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, pernah pada suatu ketika dia mendaftar anak keduanya di sebuah sekolah agama dan segala yuran pendaftaran telah dijelaskannya, namun bekas isterinya mengambil keputusan dengan tidak membenarkan anaknya meneruskan pelajarannya di situ.

Menurutnya, tindakan bekas isterinya itu menyebabkan yuran dan bil pengajian yang dibayarnya hangus.

“Saya sebak apabila anak-anak saya menelefon dan memaklumkan mereka ingin datang dan tinggal di rumah saya semasa cuti.

“Saya mohon kepada bekas isteri supaya tidak memutuskan perhubungan antara bapa dan anak. Saya juga ada hak terhadap mereka sebagai bapa,” katanya.

No comments:

Post a Comment