KUALA LUMPUR: Polis menyiarkan gambar 49 individu termasuk mahasiswa yang dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah ketika perhimpunan Bersih 3.0, di ibu negara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, individu berkenaan diminta tampil secepat mungkin sebelum mereka dijejaki melalui alamat kediaman masing-masing.
“Polis sudah mempunyai maklumat lengkap mereka, namun kami meminta mereka tampil sendiri untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan.
“Kalau mereka masih berdegil, kita tidak teragak-agak untuk mencari mereka di alamat yang sudah dikenal pasti,” katanya dalam sidang media, semalam.
Beliau berkata, orang ramai yang mengenali wajah yang disiarkan dan mempunyai maklumat juga boleh menghubungi mana-mana balai polis atau berhubung terus dengan Asisten Komisioner Azmi Aziz di talian 019-2602344 atau 019-3872344 atau emel azmiaziz@rmp.gov.my.
“Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 143 dan 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan merosakkan harta benda awam,” katanya.
Katanya, setakat ini, polis sudah menerima 258 laporan polis berhubung perhimpunan terbabit yang dibuat pelbagai pihak termasuk anggota polis, wartawan, peserta perhimpunan, peguam dan peniaga.
“Semua laporan yang dibuat akan diteliti dan masih dalam proses siasatan khususnya dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya memberi jaminan, semua laporan polis yang diterima akan disiasat seadil-adilnya supaya undang-undang dapat ditegakkan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, selain meneliti aduan, gambar yang disiarkan media dan dirakam polis turut diteliti bagi membantu siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment