Berita Harian Online | Individu pertama kena dakwa:
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R Tangam yang dikenal pasti bertanggungjawab memecahkan sekatan polis di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, menjadi individu pertama didakwa berhubung rusuhan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 itu.
Semalam, dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir dengan menghadiri perhimpunan yang dilarang di dataran itu.
Tangam, 50, yang mengalami kecederaan di ligamen, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tangam yang berjalan terhincut-hincut ketika dibawa anggota polis ke dalam kandang tertuduh memohon supaya dibenarkan duduk apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahmud Abdullah. Mahmud membenarkan permohonannya.
Dia didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama menentang pelaksanaan Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat pada 26 April lalu oleh Zaki Asyraf. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja di sini, jam 3 petang, 28 April 2012.
Dia juga menghadapi tuduhan pilihan iaitu bersama-sama penyokong BERSIH 3.0 dilarang supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan dari 28 April 2012 hingga 1 Mei 2012 di Dataran Merdeka, iaitu semua permukaan tanah yang disempadani Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab di sini, kecuali kawasan diduduki Kelab Diraja Selangor.
Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan itu menyebut perhimpunan berkenaan dilarang melalui satu perintah Zaki Asyraf sebagai penjawat awam yang diberi kuasa mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah dan tertuduh mengingkari arahan itu dengan menghadiri perhimpunan sehingga menyebabkan rusuhan atau gaduh gempar.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan pertuduhan itu membabitkan kepentingan awam, selain tertuduh tidak memberi kerjasama ketika disoal siasat.
Bagaimanapun, peguam bela Latheefa Koya memohon supaya jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya yang juga bekas tentera kini tidak bekerja selain anaknya sebagai penjamin terpaksa mengumpulkan wang ikat jamin daripada rakan-rakannya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahmud menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 5 Jun depan.
No comments:
Post a Comment