JAKARTA 3 Mei - Laungan kebencian serta kata-kata nista oleh sejumlah rakyat Indonesia terhadap negara jiran Malaysia terus kedengaran di hadapan bangunan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.
Tunjuk perasaan oleh lebih 500 peserta demonstrasi yang digerakkan oleh Konfederasi Serikat Pekerja Seluruh Indonesia (KSPSI) itu terus-terusan mengecam dan merendah-rendahkan kedaulatan Malaysia.
Selama lebih dua jam, KSPSI mencetuskan provokasi dengan mengancam operasi syarikat-syarikat Malaysia serta keselamatan rakyatnya di republik ini.
Ungkapan Ganyang Malaysia serta desakan menghentikan penghantaran tenaga kerja Indonesia Ke Malaysia dan mengusir penempatan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta merupakan antara tuntutan yang dibuat oleh pertubuhan itu.
Pemimpin-pemimpin KSPSI yang mewakili beberapa wilayah Indonesia yang berucap pada perhimpunan itu dengan penuh bangga menyatakan bangsa Indonesia merupakan bangsa yang berdaulat dan memiliki keperibadian yang tinggi.
Bagaimanapun, tunjuk perasaan yang disertai kata-kata nista terhadap Malaysia itu langsung tidak mencerminkan nilai peradaban.
Hampir kesemua pemimpin itu juga mendesak kepimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhyohono agar segera memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Aksi demonstrasi berterusan itu diadakan di sini berikutan rasa tidak puas hati KSPSI terhadap penjelasan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa yang menegaskan Malaysia tidak pernah mencuri organ tiga rakyat negaranya yang mati ditembak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Minggu lalu, Ketua KSPSI, Yoris Raweyai memberitahu, pertubuhan itu tidak akan teragak-agak untuk melancarkan Sweeping terhadap rakyat Malaysia dan syarikat-syarikat Malaysia di Indonesia.
“Kalau pemerintah Indonesia tidak tegas menangani isu tembakan tiga rakyat Indonesia, kami akan turun ke jalan," kata Yoris yang juga anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Kelibat Yoris bagaimanapun tidak kelihatan pada demonstrasi itu, sebaliknya, Setiausaha Agung KSPSI, Rudi Prayitno yang mengetuai perhimpunan itu dibenarkan menemui Ketua Canselori Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Riaz Razak untuk menyampaikan pendirian pertubuhan itu sebelum peserta-peserta demonstrasi bersurai.
No comments:
Post a Comment