Mohd Sabri Said, | 07 Mei 2012 |
PULAU PINANG, 7 Mei: Walaupun PAS mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang namun berjaya meningkatkan syariat Islam.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar), ini berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi gagal berbuat demikian ketika berada dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Beliau menyatakan demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan kononnya PAS tidak berperanan dalam kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
PAS jelasnya, berjaya memikat hati Lim sewaktu Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menjadi Adun Permatang Pasir lagi tetapi ketika itu Allahyarham berada dalam keadaan uzur dan sukar menumpukan kerja-kerja lain dalam pentadbiran.
"Bohong saya katakan PAS tidak berperanan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaliknya walaupun satu kerusi kita berjaya membuka ruang untuk syariat Islam berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi tidak banyak mengubah lanskap politik umat Islam termasuk mendapatkan penambahan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp)," tegasnya.
Katanya, semasa Umno berkuasa Maipp hanya mampu memperolehi RM12 juta berbanding 2009 dinaikkan RM20 juta dan 2010 pula sebanyak RM24.3 juta, pada 2011 sebanyak RM33.3 juta dan 2012 RM64 juta.
Jewlasnya, urusan hal ehwal Islam menerusi Exco Agama Negeri, Abdul Malek Abul Kasim menyerlah kerana berjaya memperluaskan peranan institusi agama yang selama ini beku ekoran ketidakprihatinan Umno dan BN dalam meningkatkan
pembangunan Islam di negeri ini.
Terbaru, ujarnya pembinaan sebuah surau di Padang Kota Lama dengan kos RM200 ribu yang selama ini Umno tidak pernah terfikir untuk mewujudkan surau khas kepada umat Islam yang bersiar-siar di situ.
Begitu juga dengan Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat akan dibina di Jalan Scotland dengan kos RM5 juta yang mana kerajaan negeri menyediakan tanah 49 ekar bagi tujuan tersebut.
"Sebab itu sampai kini Umno dan konco-konconya terus mainkan isu PAS tidak boleh buat apa walaupun menang satu atau dua kerusi. Mereka tak tahu kalau PAS menang banyak bermakna Umno kurang kerusi dan ini akan memberikan lagi kekuatan PAS di Pulau Pinang khususnya terhadap kerjasama dengan exco agama dan Ketua Menteri," jelas beliau yang juga Adun Permatang Pasir.
Saleh juga menafikan pandangan yang mengatakan Lim bersikap anti Melayu dan Islam kerana sepanjang mengetuai kerajaan negeri banyak peruntukan dan mengiktiraf para huffaz yang selama ini tidak diberikan perhatian oleh Umno dan BN.
Begitu juga, katanya Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan para gurunya tidak pernah kerajaan negeri sekarang pinggirkan berbanding Umno dan BN sanggup membatalkan bantuan perkapita terhadap SAR yang menjadi nadi generasi muda Islam mendapatkan ilmu pengetahuan.
"PAS berusaha sekadar yang termampu dan ia disambut baik oleh Ketua Menteri walaupun beliau bukan beragama Islam namun mudah dibawa berbincang berkaitan hal ehwal Islam.
“Apa yang didakwa oleh segelintir golongan bahawa Lim hanya berlakon untuk mendapatkan pengaruh undi Melayu hanyalah tekaan mereka (Umno) sahaja," katanya lagi.
Menurutnya, Umno sekarang seolah-olah baru tersedar dari mimpi dengan melakukan fitnah kepada PAS dan kerajaan negeri yang tiada berkesudahan.
No comments:
Post a Comment