Monday, May 28, 2012

Sasaran dua juta tercapai



KIRI: Ribuan belia menyaksikan konsert Clash Of The Bands di Putrajaya malam tadi.


PUTRAJAYA - Himpunan Jutaan Belia yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara 2012 di sini menutup tirainya semalam dengan mencipta rekod tersendiri iaitu kehadiran dua juta belia sepanjang karnival lima hari itu.
Ini secara tidak langsung membuktikan usaha kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk mendekati belia di negara ini berada pada landasan yang tepat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, meskipun berpuas hati dengan pencapaian itu, beberapa perincian lain masih diperlukan sebagai persediaan untuk sambutan tahun depan termasuk dari aspek logistik serta penganjuran acara.
Menurut beliau, apa yang penting dan jelas ketara sepanjang perhimpunan mega belia itu ialah komitmen yang ditunjukkan oleh semua peserta yang terlibat dalam menjayakan aktiviti masing-masing.
"Saya kira matlamat dua juta belia sudah dapat dicapai, cuma kita akan dapatkan beberapa perincian lain dari segi acara mana yang perlu dikembangkan, acara yang kurang mendapat sambutan termasuk acara yang tidak perlu diteruskan pada masa akan datang.
"Saya turut melihat himpunan ini bersifat mesra peniaga. Ertinya kita akan lihat dari segi impak ekonomi kepada Putrajaya dan negara. Saya juga difahamkan ada peniaga peralatan sukan yang berjaya mencecah RM12,000 jualan sehari, jadi ini sesuatu yang baik dan memberi berita gembira kepada sesiapa yang akan terlibat pada himpunan pada tahun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment