Friday, May 11, 2012

Sultan Johor murka

Sultan Ibrahim Iskandar

Sultan Ibrahim Iskandar


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan kejadian pergaduhan empat warga asing yang bekerja di Singapura dengan pengawal peribadi rombongan Diraja Johor di Pulau Rawa, dekat Mersing, malam Jumaat lalu.

Baginda juga kesal dengan laporan akhbar The Straits Times di Singapura yang membesar-besarkan kejadian itu dengan menyiarkan laporan tidak tepat.
“Saya marah... sepatutnya insiden ini tak berlaku. Mereka dalam keadaan mabuk dan membuat kacau mengganggu pengunjung lain di pulau itu.
Saya maafkan mereka dan lupakan perkara ini. Saya mengalu-alukan mereka bercuti dan menikmati keindahan pulau di negeri ini, tetapi jaga perlakuan. - Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor
“Saya minta semua pihak tidak memperbesarkan cerita ini. Jika diambil kira, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang pada hari kejadian, tetapi saya nasihatkan supaya mereka pulang.

“Apa yang dilaporkan media asing itu tidak benar, sebaliknya mereka yang mabuk pada hari itu melakukan kekacauan terhadap pelancong lain, termasuk menceroboh bot peribadi saya dan berkelakuan biadab terhadap pengawal peribadi adalah punca sebenar,” titah baginda dalam pertemuan dengan media, di Istana Pelangi, di sini, semalam.

Baginda bertitah demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam mengenai kejadian yang membabitkan warga British, Perancis dan Jerman itu. Sebelum itu, The Straits Times melaporkan mereka mendakwa cedera selepas bergelut dengan pengawal peribadi kerabat diraja Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda difahamkan mereka tiba di pusat peranginan itu kira-kira jam 11 malam sebelum mabuk dan mengganggu tetamu diraja yang mengadakan majlis dan menginap di pusat peranginan bersebelahan. 
Ada antara pelancong terbabit bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada keluarga dan tetamu diraja sehingga mencetuskan ketegangan dan terjadi pergaduhan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah, baginda memaafkan serta mengalu-alukan kedatangan mereka bercuti serta melancong di Johor pada masa depan.

“Saya maafkan mereka dan lupakan perkara ini. Saya mengalu-alukan mereka bercuti dan menikmati keindahan pulau di negeri ini, tetapi jaga perlakuan. Di Johor, banyak pulau yang cantik dan indah serta terkenal di kalangan pelancong. Saya alu-alukan pelancong asing menikmati keindahan di sini, tetapi dengan menjaga tingkah laku dan menghormati undang-undang negara. 

“Jangan dengan insiden yang berlaku hanya disebabkan satu dua pelancong asing yang tidak menjaga perangai, negeri ini digambarkan tidak selamat. Pada hari kejadian, doktor peribadi istana turut memberi pertolongan membantu seorang daripada mereka yang tercedera akibat terpijak terumbu karang,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah, ketika kejadian, baginda sudah meninggalkan pulau itu selepas menyertai program menyelam selama tiga hari di situ. Selain itu, kapten bot peribadi baginda dititah membuat laporan dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata polis menerima sembilan laporan berkaitan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 452 Kanun Keseksaan.

“Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan. Kita belum menerima laporan lain, termasuk daripada mangsa atau pihak berkaitan. Sembilan saksi sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment