Friday, June 22, 2012

Cikgu Mala: 'Saya tidak masuk Umno'

Cikgu Mala: 'Saya tidak masuk Umno'
Normala Sudirman menjelaskan laporan yang mendakwa beliau menyertai Umno.
KUALA LUMPUR - "Saya tidak pernah berniat untuk masuk Umno. Saya berjuang dalam Pas untuk mencari keredaan ALLAH SWT." Demikian kata bekas calon Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman.

Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala berkata, tindakan penulis blog yang memfitnah dirinya dengan mengatakan beliau kecewa dengan Pas dan membuat keputusan untuk masuk Umno adalah keterlaluan.

"Saya menafikan dakwaan blogger yang mengatakan saya berniat untuk jadi ahli Umno.

"Selaku pimpinan muslimat dan isteri, saya mahu tegaskan saya dapat sokongan padu daripada suami, keluarga dan jemaah untuk berjuang dalam Pas," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat  Pas, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalannya, Dr Siti Mariah Mahmud.

Khabar angin itu mula tersebar sejak Rabu lalu melalui blog penaksj.wordpress.com yang dipercayai dimiliki oleh penulis blog Umno.

Blog itu mendakwa beliau mengalami masalah kewangan serta masalah tuntutan janji kebajikan yang dijanjikan Pas setelah beliau kalah dalam PRK Dun Tenang pada 2010.

Normala yang juga ahli jawatankuasa Dewan Muslimat Pas berkata, sekiranya isu ini terus dipanjangkan, beliau tidak teragak-agak untuk menyaman mereka yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.

"Saya menuntut permohonan maaf daripada blogger yang membuat fitnah dan menyebarkan berita palsu ini.

"Saya mahu tanya, kalau betul ada pihak mahu bantu kebajikan saya, bila suami saya akan dilayan secara adil dan dikembalikan ke sekolah asal?" katanya.

Beliau berkata, tindakan Umno menukarkan suaminya ke sekolah menengah di Kota Tinggi sejauh 270 kilometer merupakan tekanan dan dendam politik.

"Saya menasihati blogger Umno supaya berhenti daripada menjuarai budaya fitnah dan ini jelas akan menyebabkan semakin ramai rakyat akan terus membenci Umno," katanya.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata, Pas tidak menjanjikan kewangan tetapi sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menjaga kebajikan ahli.

"Isu fitnah begini bukan perkara baru. Kami tidak rasa gentar dengan fitnah begini.

"Kami mahu beri gambaran sebenar mengenai isu ini. Kalau tidak jawab, mereka akan mainkan isu ini berminggu-minggu dan akan mengelirukan banyak pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment