Tuesday, July 17, 2012

Azrinaz serahkan 'jodoh baru' kepada ALLAH

Azrinaz: 'Saya masih sama seperti dahulu'
Azrinaz Mazhar Hakim ketika ditemu bual oleh majalah NONA, Mei lalu. - Foto ihsan NONA
SHAH ALAM - Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim mengakui masih belum menutup pintu hatinya dan menyerahkan kepada ALLAH soal menerima cinta baru atau sebaliknya jika ada "jodoh dan pertemuan."

Sehubungan itu kata Azrinaz, beliau tidak mengambil pendirian "menutup pintu hati" dalam soal menerima cinta baru.

"Saya serahkan semua itu kepada ALLAH S.W.T. Jodoh dan pertemuan, Dia yang menentukannya. Untuk menutup pintu hati ini mungkin tidak, cuma saya amat bersyukur dengan segala yang dimiliki sekarang," kata beliau dalam pertemuan dengan Editor NONA, Kiffy Razak yang mengemukakan
soalan "adakah Azrinaz serik untuk menerima cinta baru?"

Bekas isteri Sultan Brunei ini berkata, kehidupan beliau sudah cukup sempurna dengan kehadiran dua permata iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel, 6, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 5.

Temu bual eksklusif beliau dibawa oleh majalah NONA edisi Julai, yang berada di pasaran sekarang.

Baru-baru ini, Azrinaz, 33, menemui peminatnya selepas 'berehat' selama tujuh tahun, menerusi kaca televisyen sebagai juri jemputan program realiti On Air.

Ia merupakan kemunculan pertama Azrinaz di televisyen selepas berhenti menjadi pengacara dan wartawan TV3 pada 2005 dan selepas perkahwinan dengan baginda Sultan Brunei berakhir dua tahun lalu.
Menjawab soalan bagaimana menepis suara-suara negatif, Azrinaz berkata, "situasi ini berlaku di mana-mana sahaja dan sepanjang masa."

"Tidak dinafikan, ia merupakan sebuah rencah kehidupan dan masyarakat sememangnya gemar bercerita mahupun ia, positif atau negatif.

"Saya menyusuri keadaan ini dengan tenang dan telah menjadi sebahagian antibodi dalam diri saya," kata bekas wartawan TV3 ini.
Tambah beliau, "saya tidak boleh menghentikan semua itu."

"Pelbagai cerita sejak sebelum berumah tangga, semasa dan selepas senantiasa menjadi bahan bualan. Saya menganggapnya seperti di angin lalu, saya dengar tetapi tidak sesekali simpan di dalam hati. Saya enggan menjadi JK," kata beliau yang merujuk "JK" sebagai singkatan kepada "jiwa kacau."

"Saya ingin hidup gembira dan bahagia, untuk itu saya perlu menanamkan sifat positif dalam diri sangat kuat kerana saya tidak boleh mengubah jika sesiapa sahaja ingin bercakap tentang perkara negatif," tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment