Misteri kematian bekas Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman (gambar) kini terjawab. Suleiman dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Amerika Syarikat pada hari Khamis, sehari sebelum umat Islam di Mesir berpuasa. Suleiman dikenali sebagai pemimpin rejim yang zalim di zaman Hosni Mubarak dan pernah dilantik sebagai Ketua Perisikan Mesir bermula tahun 1993 hingga 2011. Sewaktu tercetus Revolusi 25 Januari, Mubarak melantik Suleiman sebagai Naib Presiden.
Kematian Suleiman di Amerika yang menjadi tanda tanya semalam terjawab apabila pasukan Tentera Syria Bebas mengaku bertanggungjawab membunuh Suleiman. Sebenarnya, Suleiman berada dalam Bangunan Keselamatan Kebangsaan yang dibom pada hari Rabu,sehari sebelum meninggal dunia. Suleiman dikatakan turut hadir dalam perjumpaan di bangunan tersebut bersama-sama Ketua Perisikan Israel berbincang dengan beberapa menteri kanan rejim Basyar. Letupan bom tersebut telah membunuh empat pemimpin tertinggi rejim termasuk Menteri Pertahanan Syria, Dawud Rajihah.
Suleiman yang cedera parah dalam insiden letupan tersebut telah dipindahkan ke salah sebuah hospital di Amerika bagi menyelamatkan nyawa tetapi disahkan meninggal dunia sehari kemudian.
Jenazahnya telah dibawa pulang dari Amerika ke Mesir semalam dan selamat dikebumikan. Presiden Mesir, Dr.Muhammad Mursi menolak permintaan untuk memberikan sebuah pesawat khas menerbangkan jenazah Suleiman dari Amerika ke Mesir. Beliau sendiri tidak menghadiri sembahyang jenazah dan hanya mewakilkan kepada seorang pemimpin tentera. Tindakan Mursi adalah bertepatan kerana latarbelakang Suleiman sepanjang hayatnya terlalu zalim, menindas pejuang Islam dan aktivis HAMAS termasuk mempunyai hubungan terlalu rapat dengan Israel dan Amerika bagi mengekang kebangkitan Islam di Mesir dan tanah Arab.
No comments:
Post a Comment