Thursday, August 30, 2012

Sitkom komedi Islam BBC dikecam



LONDON 29 Ogos - Sebuah drama bersiri televisyen komedi BBC mengenai pemimpin masyarakat Islam di Britain, menerima 200 aduan selepas didakwa 'mempersendakan Islam dan menggambarkan stereotaip mengenai Asia dan tidak menghormati al-Quran'.
Satu daripada babak dalam drama berjudul Citizen Khan itu yang mencetuskan kemarahan penduduk Islam, menggambarkan anak perempuan kepada sebuah keluarga Khan bergegas memakai tudung dan berpura-pura mengaji Al-Quran ketika bapanya pulang ke rumah.
Drama sebanyak enam episod itu, yang disiarkan buat pertama kalinya di BBC pada pukul 10.35 malam kelmarin, diarahkan oleh Adil Ray, seorang penganut Islam warga Britain yang juga memegang watak utama dalam Citizen Khan.
"Ini adalah stereotaip yang amat teruk dan jahil," tulis seorang penonton dalam papan mesej BBC.
"Ia amat mengecewakan terutamanya ketika babak anak perempuannya berpura-pura mengaji al-Quran," tulis seorang lagi penonton.
Pengkritik turut mengecam pengulangan banyak stereotaip mengenai penganut Islam Britain dengan episod pertama itu menceritakan tentang masalah rancangan perkahwinan seorang daripada anak Khan.
Jurucakap BBC, bagaimanapun berkata, Citizen Khan telah membuat permulaan yang positif apabila episod pertamanya disaksikan kira-kira 3.6 juta penonton.
"Drama komedi baru selalunya mencetuskan pelbagai reaksi berbeza daripada penonton, tetapi watak dalam drama ini hanya rekaan semata-mata dan tidak mewakili mana-mana masyarakat," kata jurucakap BBC. - AGENSI

No comments:

Post a Comment