Friday, September 14, 2012

140 bayi luar nikah diselamatkan





MUAR - Seramai 140 bayi luar nikah di negeri ini berjaya diselamatkan daripada digugur atau dibuang oleh ibu mereka yang kebanyakannya remaja bawah umur berusia di antara 13 hingga 18 tahun sepanjang empat tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai (gambar) berkata, rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak 2009 menunjukkan bayi yang dapat diselamatkan meningkat setiap tahun setelah ibunya ditempatkan di pusat-pusat perlindungan remaja hamil luar nikah.
Katanya, daripada jumlah itu, 23 bayi diselamatkan pada 2009 dengan Johor Bahru mencatatkan bilangan tertinggi iaitu lima bayi diikuti Muar dan Kluang masing-masing empat bayi, Kota Tinggi (3) dan Segamat serta Batu Pahat masing-masing dua bayi, selebihnya di daerah lain.
"Pada tahun 2010, jumlahnya meningkat apabila 39 bayi berjaya diselamatkan iaitu Johor Bahru (10), Muar, Pontian dan Kota Tinggi masing-masing lima bayi manakala Segamat, Muar dan Kluang masing-masing empat bayi dan di Mersing pula dua bayi.
"Bagi 2011, bilangan bayi yang diselamatkan melonjak kepada 70 orang iaitu Johor Bahru (15), Segamat (empat), Batu Pahat (tiga), Kulaijaya (satu) dan selebihnya di daerah lain.
Sehingga Julai lalu pula, sebanyak lapan bayi dari Johor Bahru berjaya diselamatkan dan daerah lain masih belum ada laporan diterima.
"Pada tahun 2009 dan 2010, semua yang diselamatkan adalah bayi berketurunan Melayu manakala pada 2011 terdapat empat bayi Cina dan dua bayi India sementara selebihnya bayi Melayu. Pada tahun ini pula semuanya melibatkan bayi Melayu," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di Sungai Balang di sini kelmarin.
Katanya, bayi-bayi tersebut dapat diselamatkan apabila remaja yang mengandung luar nikah atau ibu bapa mereka mempunyai kesedaran lalu menghantar anak-anaknya ke pusat-pusat kebajikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang itu memberitahu, di pusat-pusat kebajikan berkenaan, remaja bawah umur yang hamil itu akan dijaga dengan baik sehingga selamat melahirkan anak mereka.
Jelasnya, penghuni pusat itu juga dilatih sepenuhnya mengenai proses penjagaan bayi, selain diberi latihan dan kemahiran sebagai bekalan bagi meneruskan kehidupan selepas meninggalkan pusat itu.
Ujarnya, terdapat tiga pusat penjagaan di negeri ini yang semuanya terletak di Johor Bahru dan pihaknya bercadang membina sebuah lagi di daerah ini bagi menampung bilangan remaja hamil luar nikah yang jumlahnya meningkat saban tahun.

No comments:

Post a Comment