Friday, September 14, 2012

‘Wanita Pertama’ rejim Pol Pot dibebas


Ieng Thirith bersama pegawai mahkamah ketika menghadapi perbicaraan pada 2008.
[FOTO AF]Ieng Thirith bersama pegawai mahkamah ketika menghadapi perbicaraan pada 2008. [FOTO AF]
Phnom Penh: Mahkamah jenayah perang Kemboja semalam mengarahkan pembebasan Ieng Thirith, 80 yang digelar Wanita Pertama rejim Khmer Rouge, berkata beliau tidak sihat untuk dibicarakan. Beliau dijadual dibebaskan esok.

“Disebabkan tiada prospek tertuduh boleh dibicarakan pada masa depan, dewan perbicaraan mengesahkan memutuskan dakwaan terhadap Ieng Thirith.
“Thirith didapati mengalami penyakit degeneratif (hampir sama dengan penyakit Alzheimer) dan ini bermakna beliau hilang upaya kekal untuk menghadapi perbicaraan,” kata satu kenyataan tribunal.

Masalah kognitif tak boleh dipulihkan

Menjelaskan keputusan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ieng Thirith, kakak ipar pemimpin rejim itu, Pol Pot, mahkamah berkata masalah kognitifnya tidak boleh dipulihkan.

Salah seorang daripada segelintir tokoh rejim itu yang dihadapkan ke mahkamah berhubung kekejaman yang dilakukan pada tahun 1975 hingga 1979, dan dipersalahkan di atas kematian sehingga dua juta penduduk, Ieng Thirith dituduh melakukan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan.

Tribunal berkata, arahan membebaskan beliau bukan menjatuhkan hukuman bersalah atau tidak ke atas tertuduh atau memberi kesan kepada pengguguran dakwaan terhadapnya.
Tiga lagi bekas pemimpin atasan rejim itu termasuk suaminya, bekas Menteri Luar Ieng Sary, kekal dibicarakan.

Thirith adalah salah seorang daripada wanita dalam kepemimpinan Khmer Rouge dan terus menjadi penyokong kuat rejim walaupun selepas ia digulingkan.

Beliau ditahan pada 2007 bersama suaminya dan ditahan di kem tahanan sejak itu. Beliau menafikan semua dakwaan ke atasnya dan enggan bekerjasama dengan mahkamah.

Mangsa kekejaman kecewa

Mangsa kekejaman Khmer Rouge bagaimanapun menerima keputusan itu dengan rasa kecewa.

“Saya tidak dapat menentang mahkamah, tetapi saya tidak gembira dengan keputusan itu,” kata Bou Meing, 71, salah seorang daripada tahanan di penjara Tuol Sleng yang terselamat.

Beliau berkata keputusan mahkamah adalah penghinaan kepada mangsa yang terkorban ketika kekejaman Khmer Rouge termasuk isteri dan anak beliau.

Penganalisis berkata keputusan itu diberikan berikutan masalah kesihatan Thirith yang teruk.
AFP

No comments:

Post a Comment