KUALA LUMPUR- Kes seorang lelaki bekas tahanan Ordinan Darurat yang mati ditembak baru-baru ini turut disiasat dari segi penglibatan kongsi gelap, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd AdnanAbdullah.
  
"Sehingga kini, kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif, dan tiada tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita pada perlawanan akhir futsal Piala Ketua Polis Selangor di sini.
  
Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
  
Mohd Adnan juga berkata polis telah menemu bual isteri mangsa bagi membantu siasatan, namun belum mengambil keterangan wanita itu.
  
K.Archuthan, 41, bekas tahanan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 ditembak mati ketika menunggu anak lelakinya yang berusia 16 tahun di depan sekolah menengah di Selayang Baru pada 29 Ogos lepas.
  
Dalam kejadian itu, isteri mangsa yang berada bersama Archuthan dalam kereta turut cedera di bahagian pinggang selepas terkena tembakan dari jarak dekat. -Bernama