Monday, September 10, 2012

Nasha kekal

Nasharuddin Mat Isa
Nasharuddin Mat Isa

Mesyuarat Majlis Syura PAS tak bincang kedudukan bekas Timbalan Presiden

Kuala Lumpur: PAS mengekalkan bekas Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura PAS.

Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat Majlis Syura Pas yang dipengerusikan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din malam tadi tidak membincangkan kedudukan Nasharuddin. “Tak ada langsung dibincangkan dalam mesyuarat malam ini. Beliau masih ahli Majlis Syura,” katanya kepada media sejurus mesyuarat selesai di ibu pejabat PAS, di sini.

Ketika ditanya sekali lagi sama ada isu mengenai masalah Nasharuddin dibincangkan, beliau secara tegas menjawab: “Tak timbul sebarang masalah."

Nasharuddin yang ditanya mengenai kedudukannya ketika keluar daripada mesyuarat bersama Abdul Hadi, hanya berkata: “Saya ikut presiden (Abdul Hadi).”

Beliau sebelum ini menerima kecaman beberapa pihak dalam PAS berikutan kenyataannya sekembali dari Makkah baru-baru ini yang dianggap melanggar dasar parti.
Lebih menggusarkan banyak pihak dalam parti ialah apabila gambarnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pertemuan khas dengan beberapa ulama Arab Saudi di Makkah, disiarkan dalam media.

Ahli Parlimen Bachok itu juga meminta PAS mengkaji semula kedudukan parti dalam pakatan pembangkang selepas DAP secara konsisten menolak dasar parti untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

Kenyataan keras Nasharuddin itu dilihat bercanggah dengan pendirian parti dan ditentang pemimpin PAS, termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang secara terbuka menggesanya keluar parti.

Pada 25 Ogos, Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat yang dipengerusikan Abdul Hadi tidak membuat sebarang keputusan mengenai Nasharuddin, sebaliknya memutuskan kedudukan pemimpin itu akan ditentukan Majlis Syura PAS.

Mengenai sama ada Nasharuddin akan dicalonkan semula untuk pilihan raya umum akan datang, Abdul Hadi berkata, ia akan ditentukan kemudian.

“Majlis Syura hanya mengadakan mesyuarat biasa membincangkan mengenai calon pilihan raya bagi pastikan calon berwibawa sebelum diputuskan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, parti menerima banyak senarai calon berwibawa sehingga ada empat calon bagi satu kawasan.

Mesyuarat berlangsung kira-kira dua jam sehingga kira-kira jam 11 malam, tetapi Nik Abdul Aziz dilihat keluar daripada bilik mesyuarat pada jam 9.20 malam, selepas dikatakan memberi pandangannya mengenai isu Nasharuddin.

No comments:

Post a Comment