Wednesday, October 24, 2012

Keganasan reda di Lubnan

BEIRUT - Keadaan di beberapa jalan utama di Lubnan hari ini dilaporkan kembali tenang selepas tentera  melancarkan operasi keselamatan bagi menghentikan keganasan yang tercetus selepas insiden pengeboman kereta yang telah menyebabkan Ketua Perisik terbunuh pada Jumaat lalu.

Kelmarin, Ketua Polis, Jeneral Ashraf Rifi turut mengeluarkan butiran lanjut mengenai  hasil siasatan awal berhubung kejadian itu dan turut menyifatkannya sebagai satu  serangan pengeboman yang telah dirancang dengan teliti.

"Kenderaan digunakan dalam kejadian tersebut telah dikenal pasti sebagai kereta yang dicuri kira-kira setahun lalu," katanya dipetik AP.

Sementara itu, Menteri Maklumat Jordan, Sameeh Maaytah juga memaklumkan Amman  mula mengambil tindakan tegas menyekat kemasukan kumpulan militan ke negara itu susulan daripada insiden pertempuran yang telah meragut nyawa askar mereka.

Menurutnya, kumpulan Salafi itu turut disyaki menghantar ahli mereka ke Syria sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun keganasan telah merebak ke Jordan, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut negara jiran Syria tersebut masih  menerima kemasukan  ratusan ribu pelarian daripada negara bergolak itu sejak tercetusnya konflik lebih 18 bulan lalu.

Setakat ini, lebih 35,000 pelarian Syria menghuni kem Zaatari dan lebih 33,000 rakyatnya terbunuh sejak kebangkitan menentang Al-Assad tercetus dalam Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, PBB semalam, turut mengumumkan rancangan untuk menghantar seramai 3,000 anggota  pasukan pengamannya ke Syria jika pelaksanaan gencatan senjata di negara bergolak tersebut ditangguhkan lagi.

No comments:

Post a Comment