Wednesday, October 24, 2012

PBB rancang hantar pengaman ke Syria

Penyokong pergerakan 14 Mac yang menentang Bashar,  memegang sepanduk menunjukkan beliau (kiri) dan Mikati ketika pengebumian Wissam dan pengawal keselamatannya  di Beirut, kelmarin. - Foto AFP
Penyokong pergerakan 14 Mac yang menentang Bashar, memegang sepanduk menunjukkan beliau (kiri) dan Mikati ketika pengebumian Wissam dan pengawal keselamatannya di Beirut, kelmarin. - Foto AFP

New York: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bercadang menempatkan pengaman di Syria jika gencatan senjata di negara itu dapat dilakukan sementara menanti mandat Majlis Keselamatan PBB.

Pada masa sama, Setiausaha Agung Rendah bagi Operasi Pengaman, Herve Ladsous, mengakui masih terlalu awal untuk menyatakan berapa ramai anggota pengaman boleh dihantar ke sana.
“Kami banyak berfikir mengenai apa akan berlaku apabila penyelesaian politik dicapai atau sekurang-kurangnya gencatan senjata bermula,” kata Ladsous kepada wartawan dalam taklimat PBB.

Wakil PBB dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi, bertemu dengan Presiden Bashar al-Assad di Damsyik Ahad lalu sebagai sebahagian usaha memulakan gencatan senjata antara pejuang pembebasan dan tentera kerajaan sempena cuti Aidiladha mulai 26 Oktober.

Tak henti serangan

Agensi berita Syria, SANA, melaporkan Damsyik menyokong cadangan itu tetapi tidak akan menghentikan serangan ketika cuti empat hari itu sehingga negara Barat dan sekutu mereka di Teluk berhenti menyokong pemberontak dan berhenti membekalkan senjata kepada mereka.

Brahimi memberitahu wartawan selepas pertemuan tertutup itu, beliau juga berunding dengan pembangkang di dalam dan luar negara serta menerima janji tetapi bukan komitmen untuk menghormati gencatan senjata.
Usaha Kofi Annan gagal

Brahimi menggantikan Kofi Annan sebagai wakil ke Syria selepas bekas Setiausaha Agung PBB itu meletak jawatan Ogos lalu, kerana kecewa dengan tiada kemajuan dicapai.

Menurut pelan damai Annan, PBB akan menghantar misi pemerhati tanpa senjata seramai 300 orang ke Syria untuk memantau keganasan tetapi pasukan itu terpaksa berundur Ogos lalu kerana pertempuran yang berterusan sehingga hari ini.

Sementara itu, di Washington, pegawai berkata, Amerika Syarikat akan menghantar pasukan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk membantu Beirut menyiasat pengeboman yang mengorbankan ketua keselamatan dalam negeri Lubnan.

Hormat kedaulatan Lubnan

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, juga memberitahu, Washington menghormati kedaulatan Lubnan, dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri, Najib Mikati, kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner.

“Pasukan FBI akan menuju ke Lubnan untuk membantu siasatan mereka. Namun, kami akan menanti keputusan siasatan sebelum memutuskan sebarang tindakan balas,” kata Toner. - AP/AFP

No comments:

Post a Comment