KOTA BHARU - Beberapa perwakilan Pas di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 di sini hari ini menyokong cadangan agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih menjadi Perdana Menteri apabila pembangkang menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.
Mereka berkata ini bagi memastikan sinar Islam subur di negara ini.
Perwakilan Kapar, Mohd Senu Saad berkata cadangan oleh Perwakilan Dewan Ulamak Pas, Hairun Nizam itu adalah tepat pada masanya dan perlu disokong oleh semua umat Islam di negara ini.
"Kami perwakilan sangat bersetuju demi melihat kesuburan sinar Islam terus berkembang di negara ini," katanya ketika ditemui sewaktu muktamar itu berhenti rehat.
Beliau berkata tidak ada calon lain yang lebih layak selain Abdul Hadi.
Perwakilan Serdang, Nik Razak Nik Hashim yang turut menyokong cadangan itu yakin semua rakyat terutama umat Islam di negara ini turut menyokongnya.
Nizam ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada sebelah pagi mencadangkan parti itu tidak perlu berkempen untuk pemimpin lain menjadi perdana menteri selain Abdul Hadi.
Beliau berkata Abdul Hadi merupakan calon terbaik memegang jawatan perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment