Asas konflik Israel-Palestin
Israel merancang untuk membina penempatan haram tambahan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Foto: Reuters
Usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin terutamanya melibatkan kawasan garisan sempadan bermula selepas PBB meluluskan resolusi membahagikan Palestin (negara mandat di bawah pentadbiran British) kepada wilayah Arab dan wilayah Yahudi pada 1947.

Penduduk Arab menolak ketetapan itu hingga mencetuskan Perang Arab-Israel pertama sebaik sahaja peristiwa ‘penubuhan’ negara Israel atau Hari Nakba (malapetaka) pada 15 Mei 1948.

Kemenangan berpihak kepada Israel dan rejim Zionis berjaya menawan beberapa wilayah sekali gus beberapa siri rundingan bersama negara di rantau Arab diadakan semula di bawah Perjanjian Rhodes pada 1949.

Bagaimanapun, peperangan susulan dilancarkan selama enam hari pada 5 hingga 10 Jun 1967 di Timur Tengah sekali lagi menyebabkan sebahagian besar wilayah di rantau itu ditawan Israel.

Ia menjadi kekalahan besar kepada Mesir, Syria dan Jordan serta menyaksikan Masjid Al-Aqsa terletak di kawasan Baitulmaqdis Timur dikuasai rejim Zionis sehingga kini.

Pada November 1967, PBB mengeluarkan Resolusi 242 menggesa Israel berundur semula ke sempadan (garisan hijau) seperti ditetapkan dalam perjanjian pada 1949.

Pada masa itu juga, Hamas menuntut tiga perkara sebagai syarat melaksanakan gencatan senjata iaitu berundur dari wilayah diduduki Israel, Baitulmaqis Timur diisytihar sebagai ibu negara Palestin dan hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka tanpa merujuk resolusi tersebut.

Bagaimanapun, Israel berjaya memutar belit resolusi itu dengan mencabar tuntutan mana-mana pihak.

Susulan daripada kegagalan pelaksanaan resolusi itu, Presiden Mesir, Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin menandatangani Perjanjian Kem David pada 17 September 1978 selepas mengadakan rundingan sulit selama 12 hari di kem tersebut.

Perjanjian itu dimeterai di Rumah Putih, dan turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter. Pada 1993, Israel-Palestin cuba menyelesaikan konflik antara mereka dengan memeterai Perjanjian Damai Oslo yang menjadi batu tanda kepada usaha mendamaikan kedua-dua negara itu.

Perjanjian ini dipersetujui di Oslo, Norway pada 20 Ogos 1993 dan ditandatangani secara rasmi di Washington pada 13 September 1993 oleh Mahmoud Abbas yang mewakili Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres mewakili Israel.

‘Mengambil alih’ tanah Palestin

Israel menggunakan mekanisme undang-undang kompleks dan birokrasi untuk mengambil alih lebih 50 peratus kawasan di Tebing Barat. Kawasan di Tebing Barat ini digunakan sepenuhnya untuk mewujudkan penempatan haram dan rizab tanah untuk peluasan projek pembangunan penempatan tambahan pada masa hadapan.

Helah utama mereka untuk merampas tanah milik Palestin itu adalah mengisytiharkannya sebagai ‘tanah kerajaan’. Proses tersebut dimulakan pada 1979 dengan memanipulasi pelaksanaan Undang-undang Tanah Ottoman 1858.
Kaedah lain diguna pakai Israel untuk ‘mengambil alih’ kawalan tanah milik Palestin termasuk melakukan rampasan ke atas ‘aset terbiar’ dengan alasan untuk kegunaan tentera dan awam.

Selain itu, Israel turut membantu penduduk mereka membeli tanah di pasaran bebas melalui proses melanggar prinsip asas dan keadilan asasi hingga menyebabkan kebanyakan penduduk Palestin tidak sedar apabila tanah mereka bertukar hak milik.

Walaupun pelbagai kaedah digunakan, matlamat utama mereka sebenarnya adalah untuk mewujudkan penempatan haram di wilayah tersebut walaupun ia melanggar undang-undang antarabangsa.

Umumnya, Mahkamah Tinggi Keadilan membenarkan mekanisme digunakan untuk mengambil alih tanah persendirian milik penduduk Palestin tetapi apabila Israel mengisytiharkan ia sebagai hak kerajaan, mahkamah itu enggan campur tangan bagi menghalang tindakan tersebut.

Undang-undang antarabangsa

Pembangunan penempatan haram di Tebing Barat sememangnya mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang penjajah memindahkan penduduk dari wilayah mereka ke wilayah yang diduduki seperti termaktub di dalam  Konvensyen Geneva Keempat, Artikel 49.

Peraturan The Hague juga melarang kuasa penjajah melaksanakan perubahan kekal di kawasan diduduki melainkan atas sebab keperluan tentera atau memberi faedah kepada populasi tempatan.

Tindakan Israel sememangnya mencabul hak penduduk Palestin seperti yang termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Selain itu, Israel turut melanggar hak menentukan nasib sendiri, hak kesamaan dan hak kebebasan bergerak penduduk Palestin.

Walaupun penempatan haram tersebut dianggap melanggar undang-undang, ia tidak melibatkan status pendatang haram Yahudi kerana mereka tetap dilabel sebagai orang awam terutamanya golongan kanak-kanak yang mendapat perlindungan khas.

Apakah E1?

Pelan induk E1 diluluskan pada 1999 dan melibatkan kawasan yang kononnya diisytiharkan Israel sebagai tanah milik kerajaan. Kementerian Perdagangan dan Industri juga pernah mengemukakan pelan rancangan projek pembangunan pusat pekerjaan dan perniagaan metropolitan di bawah E1 yang disediakan oleh syarikat Reches-Eshkol serta diluluskan pada 2002 tetapi masih belum dilaksanakan.

Di samping untuk rancangan pembinaan penempatan penduduk, pelan itu turut bertujuan membangunkan pusat pelancongan, perniagaan dan projek jalan raya.

Minggu lalu, media melaporkan Israel memutuskan untuk memajukan projek pembinaan ribuan unit apartmen di Maaleh Adumim sebagai sebahagian daripada pelan E1 yang akan menghubungkan Baitulmaqdis.

Difahamkan juga, pelaksanaan projek ini akan membangunkan blok bandar antara Maalem Adumin dan Baitulmaqdis yang akan memisahkan Baitulmaqdis Timur dengan Tebing Barat, sekali gus membahagikan kawasan di Tebing Barat kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan.

Biarpun usaha Israel untuk merampas tanah Palestin dikecam suara antarabangsa, ternyata mereka tidak pernah berputusa asa dan sentiasa menimbulkan konflik bagi memastikan hasrat mereka tercapai.