Monday, December 17, 2012

Myanmar mohon maaf secara rasmi kepada sami



YANGON 16 Dis. - Kerajaan Myanmar, semalam mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada golongan sami negara ini berikutan tindakan kekerasan pihak berkuasa ketika menyuraikan tunjuk perasaan di sebuah lombong tembaga baru-baru ini, yang menyebabkan lebih 100 sami cedera.
Menteri di Pejabat Presiden, Hla Tun yang mengetuai pegawai-pegawai tertinggi Myanmar, memohon maaf kepada para sami yang cedera dalam kejadian yang berlaku di Mandalay itu.
Dalam kejadian pada 29 November lalu, polis menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan gas asap bagi menyuraikan tunjuk perasaan selama 11 hari oleh kumpulan sami di sebuah lombong tembaga di Letpadaung, timur laut Myanmar, sebuah projek usaha sama antara syarikat milik tentera Myanmar dan syarikat China.
Kumpulan sami tersebut mendesak projek itu dihentikan kerana didakwa menyebabkan kemusnahan alam sekitar, sosial dan mengundang masalah kesihatan.
Rabu lalu, beratus-ratus sami mengadakan perarakan aman di Yangon, Mandalay serta beberapa bandar kecil lain bagi mendesak kerajaan memohon maaf.
Sementara itu, seorang daripada sami yang mengetuai tunjuk perasaan itu, Shin Wirathu berkata, pihaknya berpuas hati dengan permohonan maaf daripada kerajaan.
Menurutnya, sebanyak 37 sami dan penunjuk perasaan masih dirawat di hospital sehingga kini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121217/lu_06/Myanmar-mohon-maaf-secara-rasmi-kepada-sami#ixzz2FJt6iQmk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment