Thursday, December 6, 2012

Penduduk Mesir terus bantah Presiden

Penduduk Mesir terus bantah Presiden:

Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Mursi dalam satu bantahan di hadapan Istana Presiden di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS
MESIR 5 Dis. - Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Istana Presiden di sini awal hari ini, sebagai bantahan terbaharu terhadap Presiden Mohammed Mursi ketika Mesir menghadapi krisis politik yang semakin meruncing.
Akhbar harian al-Shuruk pada tajuk utamanya menulis, 'Amaran akhir, kediaman Presiden telah dikepung', manakala akhbar bebas Al-Watan pula menulis tajuk, 'Revolusi di hadapan rumah Presiden'.
Semalam, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di kawasan kediaman Heliopolis, sebelum mengepung istana, adegan yang tidak pernah disaksikan, walaupun ketika demonstrasi menggulingkan Presiden Hosni Mubarak pada tahun lalu.
Malah beratus-ratus penentang Mursi terus berkhemah di Dataran Tahrir sejak dua minggu yang lalu.
Kumpulan aktivis pula menggunakan laman-laman sosial meminta bantuan selimut dan makanan bagi keperluan penunjuk perasaan yang bertegas tidak akan meninggalkan dataran itu selagi Mursi tidak menarik semula dikri yang memperluaskan kuasa Presiden.
Bantahan yang diadakan semalam merupakan yang terbaharu dalam beberapa siri demonstrasi sejak Mursi mengumumkan dikri tersebut pada 22 November lalu.
Dikri berkenaan turut membolehkan beliau mengadakan pungutan suara pada pertengahan Disember ini bagi meluluskan draf Perlembagaan yang dibentuk oleh satu panel yang didominasi parti Islam, namun ditolak oleh kumpulan liberal, berhaluan kiri dan Kristian.
"Kenapa beliau (Mursi) melakukan semua ini (dikri)? Beliau sepatutnya menjadi seorang Presiden bagi seluruh rakyat Mesir, bukannya sekadar untuk Ikhwan Muslimin," kata seorang penunjuk perasaan.
Draf Perlembagaan menjadi tumpuan utama sebagai 'medan pertempuran' politik dan ideologi antara parti-parti Islam dan pembangkang yang sebahagian besarnya berfikiran sekular. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121206/lu_02/Penduduk-Mesir-terus-bantah-Presiden#ixzz2EHlW7XD7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment