Protes Rogol
Seorang penunjuk perasaan mengangkat poster sewaktu mengadakan protes terhadap kumpulan perogol.
NEW DELHI - Polis India semalam, mengesahkan akan mendakwa lima suspek yang disyaki memperkosa seorang pelajar perubatan dalam sebuah bas yang bergerak pada pertengahan bulan lalu.

Jurucakap polis, Rajan Bhagat berkata, suspek keenam kes sehingga mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara berumur 18 tahun dan tidak boleh didakwa membunuh berdasarkan perundangan India.

Setakat ini, polis telah mengarahkan jabatan forensik melakukan ujian tulang bagi mengesahkan umur suspek tersebut.

"Kes ini akan difailkan pada Khamis depan bersama laporan bedah siasat mangsa," kata Rajan.

Menurut Rajan, kesemua suspek mungkin berhadapan hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Minggu lalu, seorang pelajar perubatan berumur 23 tahun meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth akibat kegagalan fungsi organ dan kecederaan otak selepas dirogol dan dipukul oleh sekumpulan lelaki di dalam bas. - Al-Jazeera