Wednesday, January 2, 2013

Serangan bom Iraq ragut puluhan nyawa

Serangan bom IraqPenyerang melakukan serangan di daerah berlainan di seluruh Iraq.
BAGHDAD - Sekurang-kurangnya 23 penduduk terbunuh dan 87 yang lain cedera dalam serangan bom yang dicetuskan seluruh kawasan Iraq, kelmarin.

Menurut pegawai, ketegangan antara pengikut Syiah, Kurdish dan Sunni dalam perkongsian kuasa kerajaan semakin memuncak sejak kumpulan militan melancarkan serangan bom beberapa bulan lalu.

Serangan berdarah terbaru itu dicetuskan seminggu selepas ribuan pengikut Sunni mengadakan bantahan terhadap Perdana Menteri Syiah, Nuri Al-Maliki.

Sehingga kini, tiada mana-mana pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom yang menyasarkan pegawai kerajaan, peronda polis dan pengikut Sunni serta Syiah.

Tujuh orang sekeluarga yang juga pengikut Sunni terbunuh selepas sebutir bom yang ditanam berdekatan kediaman mereka meletup.

"Sebaik sahaja keluar daripada pejabat, saya melihat api yang marak membakar badan mangsa," kata petugas hospital, Mohammed Ahmed, 28.

Sementara itu, agensi berita tempatan melaporkan lima orang terbunuh selepas kereta mereka diletupkan bom sebaik memasuki ruangan parkir kereta di Baghdad.

Kira-kira 2,000 orang terbunuh di Iraq sepanjang tahun 2012 susulan pengeluaran askar-askar Amerika Syarikat sejak Disember lalu. - Reuters

No comments:

Post a Comment