TEHERAN: Tentera Iran menjalankan apa yang digelar sebagai latihan perang siber untuk kali pertama ketika unit tentera laut Republik Islam itu menggerakkan ‘serangan’ di Selat Hormuz, lapor media semalam.
Memetik pegawai kanan Tentera Laut Iran, Laksamana Amir Rastegari, akhbar harian berbahasa Inggeris negara itu melaporkan, serangan disasarkan ke atas rangkaian komputer pasukan pertahanan dalam usaha menerobos rangkaian berkenaan.
“Serangan juga dibuat dengan matlamat menggodam maklumat atau menyebarkan virus,” katanya. Menurut Amir, serangan siber itu berjaya dikesan dan dihalang. Sejak tiga tahun lalu, kemudahan perindustrian Iran, termasuk loji minyak dan nuklear serta rangkaian komunikasi dan sistem perbankan menjadi sasaran serangan siber.
Teheran menyalahkan Amerika Syarikat dan Israel atas serangan berkenaan. Menurut Teheran, kerajaan menubuhkan unit siber tentera dan awam bagi mengatasi serangan berkenaan. Unit tentera laut Pengawal Revolusi bekerjasama dalam latihan ketenteraan di Selat Hormuz serta Teluk Oman sejak minggu lalu. Pegawai tentera Iran berkata, latihan itu bertujuan mempamerkan kemampuan pertahanan tentera laut negara itu serta menyampai mesej keamanan serta persahabatan kepada negara serantau. Menurut media, beberapa kapal selam mengambil bahagian dalam latihan yang turut menguji sejumlah peluru berpandu itu. Bagaimanapun, tentera mendakwa, latihan itu bukan bertujuan menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan strategik kepada perdagangan petroleum seluruh dunia. - AFP
No comments:
Post a Comment