Wednesday, February 27, 2013

Aquino beri Sultan Sulu amaran



Manila: Presiden Filipina Benigno Aquino, semalam memberi amaran kepada Sultan Sulu dia mungkin berdepan ‘tindakan undang-undang maksimum’ kecuali pengikutnya diundurkan dari Malaysia.

Dalam ucapan disiarkan televisyen negara itu, Aquino berkata, jika Sultan Sulu memilih tidak bekerjasama, segala tindakan yang dibenarkan undang-undang digunakan bagi ‘mencapai keadilan untuk semua pihak’ yang terbabit.


“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Jika anda benar-benar pemimpin kepada rakyat, anda sepatutnya bersama kami mengarahkan pengikut anda kembali secara aman,” katanya. Berpuluh-puluh pengikut Sultan Sulu kini berdepan dengan pasukan keselamatan Malaysia selama dua minggu selepas berlayar dari selatan Filipina ke Sabah bagi menuntut hak ke atas kawasan itu. Diapit dua menteri, Aquino memberi amaran, Sultan Sulu itu mungkin melanggar undang-undang Filipina, termasuk menghasut perang.

Kesalahan itu boleh menyebabkan dia dipenjara sehingga 12 tahun. Bagaimanapun, Sultan Jamalul Kiram III, 74, tidak menunjukkan petanda berundur, sebaliknya bertegas pengikutnya tetap berada di Sabah sehingga tuntutan mereka dipenuhi. “Setakat yang kami tahu, kami tidak melakukan sebarang jenayah,” katanya.


Menurut Jamalul Kiram, pengikutnya dikepung di perkampungan nelayan dan tidak memulakan sebarang keganasan. - AFP

No comments:

Post a Comment