Kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah helikopter tentera di Papua ketika pesawat itu cuba membawa mayat anggota keselamatan yang terbunuh dalam serangan terdahulu, kata pegawai semalam.
Ketua Pangkalan Tentera Jayapura, Diah Yudhanardi, berkata helikopter Puma SA-330 itu diserang kira-kira jam 8.15 pagi (7.15 pagi waktu Malaysia) ketika ia mendarat di Sinak.
Insiden itu, kata Diah, memaksa helikopter terbabit kembali ke Jayapura tanpa dapat membawa tujuh mayat tentera yang ditembak kelmarin.
“Seorang juruteknik cedera ringan di tangan kiri akibat terkena serpihan peluru, manakala juruterbang dan pembantunya selamat,” katanya. Diah berkata, tentera masih cuba menguruskan helikopter lain untuk kembali ke Sinak bagi mengangkut tujuh mayat berkenaan. Tentera itu terbunuh apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah sembilan anggota keselamatan yang sedang berjalan menuju lapangan terbang di Sinak jam 10.30 pagi (9.30 pagi waktu Malaysia) kelmarin. Serangan itu berlaku sejam selepas sebuah pos tentera di Tingginambut - terletak kira-kira 60 kilometer dari Sinak.
Seorang tentera maut dalam serangan itu dan mayatnya berjaya diterbangkan ke Jayapura pagi semalam.
Sementara itu, jurucakap polis Indonesia Agus Riyanto berkata, empat orang awam turut maut dalam serangan di Sinak. Pihak berkuasa mengesyaki serangan itu dilakukan kumpulan pemisah Pergerakan Pembebasan Papua yang diketahui bersembunyi di kawasan pergunungan Puncak Jaya
No comments:
Post a Comment