Monday, February 11, 2013

Lima askar terbunuh serangan bom di Selatan Thailand




10 Februari 2013
BANGKOK - Lima anggota tentera terbunuh dalam serangan bom di Kampung Kubae Talak, Thatong, Reman, Yala, hari ini.

Ketua polis Thatong Lt Kol Topan Pusantiar berkata dalam kejadian itu, bom seberat 50kg yang dipasang pada sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan diletupkan apabila sebuah trak membawa enam anggota tentera melintasinya pada pukul 7.10 pagi.

Kesemua anggota tentera berkenaan tercampak keluar akibat letupan itu.

"Selepas itu, 10 anggota militan berpakaian renjer menembak mereka dari jarak dekat, mengakibatkan lima anggota tentera maut dan seorang cedera. Mereka juga merampas senjata anggota tentera terbabit," katanya.

Ketua Polis itu berkata anggota militan juga menebang pokok untuk merintangi laluan ke tempat kejadian bagi menghalang operasi bantuan.

Katanya anggota tentera yang cedera itu kini dirawat di Hospital Yala.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta yang digunakan dalam serangan itu dicuri daripada guru besar Sekolah Kampung Bangol, yang ditembak mati oleh militan Disember lepas.

Lebih 5,000 orang maut sejak puak pemisah dipercayai melancarkan kempen bersenjata untuk menuntut kemerdekaan wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat di selatan Thailand sembilan tahun lepas.- Bernama

No comments:

Post a Comment