Singapura: Semakin ramai rakyat Indonesia menjadi warga Singapura sejak dua tahun lalu, menurut rekod di kedutaan Indonesia di Singapura.
Bilangannya meningkat dari 630 orang pada 2010 kepada 740 orang pada 2011 dan meningkat sekali lagi kepada 870 tahun lalu.
Bagaimanapun bilangan itu disifatkan masih rendah berbanding angka tertinggi sebelum ini. Pada 2009, seramai 960 warga Indonesia bertukar kerakyatan menjadi warga Singapura, manakala 1,180 berbuat demikian pada 2008.
Kahwin rakyat Singapura
“Kebanyakan warga Indonesia yang melepaskan kerakyatan asal mereka kerana berkahwin dengan rakyat Singapura,” kata jurucakap kedutaan.
Walaupun kedutaan tidak menyimpan rekod mengenai keturunan atau agama tetapi nama menunjukkan merekaadalah daripada pelbagai kumpulan etnik, dari keturunan Cina hingga Jawa dan Sunda.
“Penurunan pada 2010 mungkin disebabkan Singapura memperketatkan dasar imigresen menjelang pilihan raya umum pada 2011,” kata Profesor Hoon Chang Yau dari Universiti Pengurusan Singapura yang membuat penyelidikan dalam sejarah dan budaya penduduk Cina di Indonesia.
Elak kebanjiran rakyat asing
Kerajaan Singapura pada 2009 memperketatkan kriteria kewarganegaraan dan penduduk tetap untuk mengelak kebimbangan kebanjiran rakyat asing.
“Sebilangan rakyat Indonesia berpendapat mereka perlu mendapatkan kerakyatan segera atau u ia mungkin akan menjadi lebih sukar di masa depan.
Pemimpin masyarakat Indonesia di negara itu berkata, Singapura adalah destinasi utama kerana ia menawarkan peluang kerja yang baik, keselamatan dan pendidikan terbaik untuk anak mereka.
Presiden Forum Komuniti Indonesia di Singapura, Yoga Dirga Cahya, berkata kebanyakannya tidak mengubah kerakyatan mereka kerana hubungan kuat dengan keluarga di tempat asal.
Forum berkenaan adalah penaung bagi 10 persatuan rakyat Indonesia di Singapura dan menganjurkan majlis kepada 200,000 rakyat Indonesia, yang tinggal di Singapura. Selain itu, Yoga juga meramalkan tidak akan berlaku penghijrahan besar-besaran rakyat Indonesia ke Singapura kerana ekonomi negara itu semakin berkembang maju. - AGENSI
No comments:
Post a Comment