Tuesday, May 21, 2013

Hijrah: Zahid berkeras, tak akan tarik balik kenyataan.



KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang menggesa rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya Malaysia supaya berhijrah keluar dari negara ini.

Zahid juga dilaporkan berkata, beliau bersedia berdepan dengan usul mengecamnya berhubung kenyataannya itu yang akan dibawa ke Dewan Rakyat yang akan bersidang nanti.

Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan akan membawa usul di Dewan Rakyat bagi mengecam Zahid yang mengeluarkan kenyataan yang didakwa tidak wajar itu.

Zahid mengejutkan banyak pihak apabila mengeluarkan kenyataan meminta rakyat yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara lain ketika beliau baru sahaja dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Kenyataannya itu menimbulkan pelbagai bantahan bukan sahaja dari ahli politik malah termasuk juga ahli akademik dan penganalisis politik.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam reaksinya mempersoal kenyataan Zahid itu yang disifatkannya bercanggah perlembagaan.

Beliau mempersoalkan apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada dan apakah perlembagaan negara kita menghalangnya.

“Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan.

“Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur,” ujarnya.

Sebagai menteri, kata Mohammad Agus, Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbezaan politik dengan parti kerajaan.

“Saya mohon kita semua hentikan kenyataan sebegini hanya kerana kita mempunyai perbezaan politik. Ini adalah tanah air kita bersama.

“Saya yakin, sebagai rakyat, kita semua mahu terus menyumbang bakti kepada negara kita ini mengikut keupayaan masing-masing, biarpun dalam bentuk yang berbeza. Malaysia adalah negara kita bersama,” katanya.

No comments:

Post a Comment