Tuesday, May 21, 2013

Tidak salah untuk mempersoalkan kerajaan minoriti BN, kata Guan Eng kepada Zahid Hamidi.



KUALA LUMPUR, — Rakyat Malaysia berhak mempersoalkan mengapa sistem pilihan raya negara membenarkan kerajaan minoriti terus berkuasa, kata Lim Guan Eng hari ini sambil menyelar tindakan autokratik dan keras kerajaan menghukum mereka yang berani bertingkah.
Lim juga turut mengecam Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya negara agar berhijrah serta mencabar naib presiden Umno itu untuk berdebat dengannya sehari penuh di parlimen, dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang ataupun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua menteri Pulau Pinang itu turut menggelar Ahmad Zahid sebagai “bongkak” dan hanya berani di depan media dan kemera TV BN untuk menyelar rakan-rakan beliau dari PR.
“Adakah beliau berani untuk berdebat secara terbuka dengan saya atau Lim Kit Siang atau pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan sama ada kenyataannya yang ekstremis dan memecahbelah itu bersifat demokratik dan sebahagian daripada rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya umum,” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid menimbulkan kontroversi minggu lalu apabila menulis di dalam akhbar milik Umno Utusan Malaysia mengatakan rakyat Malaysia yang tidak berpuas dengan kemenangan BN kerana sistem “first past the post” boleh berpindah ke negara lain.
“Pemimpin-pemimpin parti pembangkang khususnya PKR dan DAP telah mengelirukan anak-anak muda Cina dan para pengikut yang buta politik untuk berpakaian serba hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13 yang dianggap memihak kepada mereka mengikut undi popular,” tulis Ahmad Zahid.
“Jika golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka,” tambah beliau lagi.
Lim Guan Eng: Jemput Ahmad Zaid Hamidi berdebat pemimpin Pakatan. — Gambar failPilihan raya 5 Mei menyaksikan perpecahan golongan bandar-luar bandar Malaysia.
Walaupun pertama kali hilang undi popular semenjak 1969, BN masih lagi memerintah negara dengan 133 kerusi Parlimen berbanding PR yang hanya mendapat 89 kerusi.
“Rakyat ada hak untuk menyoal demokrasi jenis apa yang ada di Malaysia yang membenarkan kekuasaan minoriti ke atas majority,” kata Lim.
“Sebalik memberi jawapan kepada tuntutan umum terhadap reformasi pilihan raya supaya menghormati pinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’, Ahmad Zahid mengambil pendekatan autokratik dan keras bagi menghukum mereka yang berani bertingkah,” tambah beliau lagi.

Dalam satu forum pada 13 Mei lalu, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dilaporkan telah mencadangkan untuk mengadakan demonstrasi jalanan, dengan berkata: “Pilihan raya tidak akan menyingkirkan kerajaan, kuasa rakyat yang akan lakukannya.”
Disebabkan itu, beliau kini direman di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.
Pemimpin pergerakkan Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim juga pada forum sama berkata kerajaan hanya boleh ditumbangkan menerusi demonstrasi jalanan.
Walau bagaimanapun, PR telah menjauhkan diri daripada gesaan demonstrasi jalanan selepas keputusan Pilihan Raya 2013 meskipun mendakwa terdapat banyak penipuan berlaku.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan minggu lalu PR akan kekal mengadakan perhimpunan tertutup “untuk meluahkan rasa marah” terhadap penipuan undi pada pilihan raya umum 5 Mei baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 minggu lalu ekoran kegagalan memberitahu pihak polis dalam tempoh 10 hari untuk berhimpun di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 8 Mei lalu. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

No comments:

Post a Comment