Thursday, June 27, 2013

29 maut rusuhan etnik di China

BEIJING - Rusuhan etnik di Xinjiang telah meragut 27 nyawa dalam insiden keganasan terbaharu di wilayah berkenaan, barat China, lapor media tempatan.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan beberapa pegawai tempatan melaporkan, polis melepaskan tembakan ke arah kumpulan lelaki yang menyerang balai polis, sebuah bangunan pemerintah dan tapak pembinaan.
"Sebanyak 17 orang terbunuh sebelum polis melepaskan tembakan dan menembak mati sepuluh penunjuk perasaan," jelas Xinhua.
Akhbar sama memberitahu, kumpulan perusuh turut bertindak ganas dengan menikam orang awam dan membakar kereta polis.
Tambah Xinhua, sembilan anggota polis atau pengawal keselamatan dan lapan orang awam maut dalam kekacauan tersebut sebelum polis mula melepaskan tembakan.
Tiga lagi mangsa dikejarkan ke sebuah hospital tempatan selepas cedera dalam rusuhan itu.
Kekacauan berlaku semalam di kawasan yang terletak sekitar 100 kilometer dari bandar Turpan dan kira-kira 250 kilometer dari ibu kota wilayah Xinjiang, Urumqi.
Punca keganasan itu masih tidak jelas dan pihak polis enggan mengulas lanjut.
Wilayah Xinjiang yang memiliki saiz kira-kira satu kali ganda daripada Turki, kerap dilanda kekacauan.
Rantau berkenaan menjadi tempat tinggal kira-kira sembilan juta penduduk etnik minoriti Uighur beragama Islam.
Sejak beberapa tahun lalu, ramai penduduk Uighur mengadu bahawa mereka menjadi mangsa penindasan agama dan budaya oleh pemerintah China.
Menurut perangkaan rasmi negara itu, 46 peratus penduduk Xinjiang terdiri daripada etnik Uighur. Sementara 39 peratus lagi merupakan orang Cina daripada bangsa Han.
Rusuhan yang berlaku melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan bangsa Han.
Etnik Uighur bertutur dalam bahasa Turki dan mempunyai hubungan etnik dengan penduduk di beberapa negara jiran China seperti Rusia, Kazakhstan dan Kyrgyzstan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2XMjYnljd 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment